Pengendali West Brom, Tony Pulis, mendakwa Alexis Sanchez melakukan simulasi dan menegaskan Jay Rodriguez harus dihadiahkan sepakan penalti ketika tewas 2-0 kepada Arsenal, awal pagi tadi.

Dua gol daripada Alexandre Lacazette memastikan kemenangan The Gunners di Stadium Emirates untuk mengekori pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, dengan perbezaan enam mata.

Terdapat insiden yang kontroversi seawal minit kelapan apabila Rodriguez dijatuhkan oleh Shkodran Mustafi dalam kotak penalti tetapi bangkit untuk melepaskan rembatan yang ditampan oleh Peter Cech.

Pulis berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan, Bobby Madley, kerana enggan memberikan sepakan penalti kepada Rodriguez tetapi bingung apabila Sanchez menerima sepakan percuma dalam kedudukan yang berbahaya apabila berlaku pelanggaran dengan Craig Dawson.

"Setiap orang menyaksikan apa yang telah berlaku," katanya.

"Seabgai contoh, pengadil memberikan sepakan percuma kepada Sanchez, dia seharusnya dilayangkan kad kerana melakukan simulasi.

"Kemudian anda melihat terjahan Mustafi ke atas Rodriguez dalam kotak penalti, pengadil berada pada kedudukan yang baik untuk membuat keputusan.

"Rodriguez bersifat jujur dan bangkit untuk melepaskan rembatan ke arah pintu gol Arsenal. Kami kecewa kerana gagal mencetak sebarang gol dalam perlawanan ini," katanya lagi.