Jurulatih baru bola sepak Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan, yakin peluang untuk skuad Harimau Kumbang mengisi slot 11 kedudukan ke Piala Malaysia masih terbuka.

Ketika Pulau Pinang sengsara di kedudukan tercorot Liga Super dengan hanya memiliki dua mata, Zainal pula melangkah yakin pada hari pertama mengemudi pasukan dengan menegaskan peluang masih ada untuk Pulau Pinang ke Piala Malaysia.

Kedengaran sukar buat Zainal tetapi bekas pemain kebangsaan ini nampaknya tidak mahu sekadar menuruti keadaan semasa, dengan menegaskan syarat utama adalah perubahan dan kerja keras membabitkan semua pihak.

"Pulau Pinang masih berpeluang ke Piala Malaysia, kami perlu memperbaiki prestasi daripada satu perlawanan demi satu perlawanan," katanya.

Biarpun bakal bertemu tiga pasukan gergasi membabitkan Felda United, Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas ini, Zainal tidak mahu mengalah awal kerana dia yakin Pulau Pinang masih mampu untuk diselamatkan.

"Saya berharap pemain-pemain dapat memberikan fokus dan tidak hilang semangat bagi menghadapi baki musim ini."