PDRM 1 PULAU PINANG 3

Pulau Pinang menunjukkan PDRM jalan keluar setelah membenam The Cops 3-1 untuk melangkah ke pusingan ketiga Piala FA di Stadium Shah Alam, malam ini.


Jurulatih, Zainal Abidin Hassan, yang membuat tiga pertukaran daripada skuad yang tewas 1-0
kepada pasukan sama dalam aksi terakhir Liga Perdana, 24 Februari lalu, mendapatkan
kelegaan awal kerana pemainnya menemui tiga gol hanya selepas 34 minit.

Pelawat sudah berada di depan pada minit keenam selepas Ken Ilso Larsen mudah menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika tiada lompatan dilakukan oleh tembok PDRM yang dibina daripada enam pemain.

Seminit kemudian, Kang Seung-jo tenang menjaringkan gol pertamanya untuk Pulau Pinang dan meletakkan pasukannya itu di kedudukan selesa.

Selepas itu, lambungan Ilso setelah dia berjaya melepasi benteng lawan, ditepis keluar oleh penjaga gol, Sheril Anuar Saini.

Kerapuhan benteng pertahanan PDRM juga membolehkan pemain berusia 18 tahun, Muhammad
Nurfais Johari, meloloskan diri dari kawasan tengah ke kotak penalti sebelum dijatuhkan
Sheril.

Lantas, pengadil tidak teragak-agak untuk menghadiahkan sepakan penalti untuk disudahkan Ilso pada minit ke-34.

PDRM nyaris menemui gol bola yang tertampan Ugochukwu Ukah daripada percubaan Petrisor Voinea menuju tepat ke arah Muhammad Al-Hafiz Hamzah.

Dengan kelebihan tiga gol di depan, Pulau Pinang bermain lebih bertahan dalam separuh masa kedua dan jarang-jarang melakukan serangan balas.

Masa semakin suntuk untuk PDRM menyelamatkan kempen Piala FA mereka selepas pertahanan Pulau Pinang kekal utuh.

Walaupun di ambang kekalahan, PDRM terus mengasak kubu lawan sehingga membawa kepada jaringan menerusi sepakan percuma pada minit kedua masa tambahan.

Bola sepakan Shim Un-seob itu terlebih dahulu melantun di depan barisan pertahanan sebelum menerjah gawang untuk mengelirukan Al-Hafiz, sekali gus mengubah kedudukan 3-1.

Keputusan lain:

Kuantan FA 7 Axis-O2 FC 0
Melaka United 7 Klang Southern 0
MOF FC 0 Selangor 3
Pahang 2 ATM 1
MISC-MIFA 1 UKM FC 1 (UKM mara menerusi penentuan penalti 4-2)

Gambar: PDRM FA