Pengurus Southampton, Claude Puel, berasa Eden Hazard dan Diego Costa membuktikan perbezaan apabila pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea, menamatkan perlawanan sebagai pemenang 4-2 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Hazard meledak gol liga ke-15 musim ini selepas lima minit tetapi bekas pemain tengah Chelsea, Oriol Romeu, menyamakan kedudukan dan Southampton menguasai perlawanan sebelum Gary Cahill menanduk masuk pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Costa kemudian muncul selepas rehat dengan dua gol -- jaringan keduanya hasil kerja menarik yang melibatkan Hazard dan Pedro.

Ryan Bertrand menambah jaringan sagu hati Saints, dan Puel berasa kagum dengan pemainnya, tetapi kecewa dengan dua pemain bertaraf antarabangsa itu.

"Ia satu persembahan yang lebih baik daripada menentang Manchester City (Southampton kalah 3-0 dalam perlawanan terdahulu)," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Pada akhirnya, ia memalukan kerana kami mempunyai permainan yang baik dengan kualiti, menentang lawan hebat, lawan baik.

"Tetapi kami melepaskan gol di saat-saat yang tidak baik, selepas lima minit, sebelum tamat separuh masa, sejurus selepas separuh masa. Ia memalukan, ia memalukan.

"Kami bermain menentang pemain yang hebat. Eden Hazard dan Diego Costa bermain dengan baik dan mereka membuat perbezaan."

Puel membawa Hazard ke gambaran skuad utama Lille ketika pemain luar biasa itu berusia 16 tahun, sebelum berkembang sehingga menyertai pasukan kebangsaan Belgium.

"Saya amat marah dengan dia, sudah tentu," katanya sambil bergurau selepas menyaksikan Chelsea berada tujuh mata di atas Tottenham di puncak liga.

"Tetapi dia seorang pemain yang hebat. Saya gembira untuknya. Begitu juga pada permulaan, dengan kualiti yang sama, keupayaan yang sama untuk memberi bantuan gol dan membuat jaringan, dengan kematangan dan kualiti.

"Dia mempunyai kerjaya yang hebat. Ia baik baginya."