PSM tuntut ganti rugi daripada FAM

Bernama
November 25, 2019 13:45 MYT
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan mengemukakan tuntutan bayaran ganti rugi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan kerosakan kerusi akibat tindakan penyokong Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, Selasa lalu.
Tuntutan itu dikemukakan kepada FAM selaku penganjur perlawanan, yang membuat tempahan mengikut syarat yang terkandung dalam terma perjanjian sewaan venue.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Nik Razeen Adam Daud, dalam kenyataan media hari ini berkata hasil pemeriksaan yang dibuat selepas perlawanan, didapati 44 kerusi di stadium itu dirosakkan oleh penyokong Indonesia yang mengakibatkan kerugian RM11,000.
Lebih 75,000 penonton membanjiri stadium tersebut yang menyaksikan Malaysia mengalahkan Indonesia 2-0.
-- BERNAMA