Thomas Tuchel percaya Paris Saint-Germain (PSG) mampu mengatasi masalah kecederaan yang melanda barisan bintangnya, Marco Verratti dan Neymar, biarpun masalah yang menimpa pemain Brazil itu membuatkan pengurus tersebut "sedih".

Neymar dikeluarkan ketika PSG menang 2-0 dalam kempen Coupe de France ke atas Strasbourg, Khamis lalu, selepas kakinya diterjah pemain tengah, Moataz Zemzemi.

PSG segera mengeluarkan satu kenyataan untuk mengesahkan bahawa Neymar mengalami kecederaan metatarsal (jari kaki) berulang yang menyaksikan dia berehat panjang Februari tahun lalu ketika merakam kemenangan Ligue 1 ke atas Marseille.

Justeru, perkembangan itu mencetuskan tanda tanya kepada penyokong dan pemerhati bola sepak menjelang aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) yang menemukan PSG dengan Manchester United apabila skuad kendalian Tuchel itu berkunjung ke Old Trafford, 13 Februari ini.

Tuchel belum pasti mengenai tahap kecederaan Neymar sambil menyatakan kekesalan dengan insiden terbabit. Namun, dia yakin mereka mampu mengendalikannya sebagai sebuah pasukan dengan Verratti sah akan tersisih ekoran masalah pergelangan kaki.

"Kami akan mengetahuinya dengan lebih lanjut (mengenai tahap kecederaan Neymar) dalam tempoh seminggu," kata Tuchel kepada wartawan. "Rawatan telah bermula, jadi kita akan lihat tentangnya nanti.

"Saya percaya bahawa kami mampu mengendalikan situasi tanpa Marco dan Neymar. Kini adalah masanya untuk memberi tumpuan kepada Rennes dan bukannya perkara selain itu.

"Neymar dan Marco merupakan tonggak utama, namun kami akan mencari penyelesaiannya -- kami memiliki skuad yang hebat dan pemain yang sentiasa boleh membuat perbezaan."

"Kecederaan adalah nasib buruk. Ia menyakitkan apabila anda kehilangan pemain utama tetapi kakitangan kami sangat pintar.

"Marco memiliki kekuatan mental, dia menghabiskan masa di tempat latihan selama 12 jam setiap hari. Bagi Neymar, ia berbeza.

"Kelmarin, dia datang untuk menjalani rawatan. Dia sedih, saya juga sedih. Ia adalah sesuatu yang mengerikan (mengalami kecederaan berulang), namun kami cuba mengelak daripada bercakap tentang kecederaannya, sebaliknya kami cuba menceriakannya.

"Mereka adalah pemain yang luar biasa dengan kualiti hebat, kami kehilangan mereka dan kelibat mereka tiada galang gantinya. Oleh itu, ia adalah satu cabaran untuk mencari penyelesaian," katanya lagi.

Pemain yang berpotensi meredakan kehilangan Verratti buat sementara waktu ialah Leandro Paredes.

Pemain antarabangsa Argentina itu semakin hampir menyertai PSG daripada Zenit, sehubungan itu Tuchel menaruh harapan ia dapat dimuktamadkan esok.

"Urusan perpindahan itu belum selesai, saya tidak boleh mengulas terlalu banyak mengenai Leandro," kata Tuchel. "Proses perpindahan ditutup pada hujung minggu ini. Saya perlu menunggu."