Sekiranya Lionel Messi menyertai Neymar dan Kylian Mbappe, ia akan menjadikan Paris Saint-Germain (PSG) pasukan yang tidak terkalah, kata Cafu.

Masa depan Messi bersama Barca masih menjadi tanda tanya selepas bintang Argentina itu merancang untuk meninggalkan pasukan itu hujung musim lalu sebelum mengumumkan untuk kekal di pasukan itu semusim lagi.

Manchester City marupakan pasukan yang sering dikaitkan dengan pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu, di mana perpindahan berkenaan akan mempertemukan kembali Messi dengan bekas jurulatihnya, Pep Guardiola, di England.

Neymar dalam pada tu menyatakan hasratnya untuk kembali bergandingan dengan Messi sebaik PSG menewaskan Manchester United dalam Liga Juara-Juara Eropah dengan berkata: "Tahun depan, kami perlu bermain bersama, itu sudah pasti."

Bekas penyerang Barca itu sebelum ini dilaporkan mahu kembali ke Camp Nou tetapi menegaskan dia sangat gembira berada di ibu negara Perancis itu. Juara Ligue 1 berkenaan sedang mengadakan perbincangan berkenaan lanjutan kontrak Neymar dan rakan sepasukannya, Mbappe.

Legenda Brazil, Cafu, pecaya kehadiran Messi -- pemain yang disifatkannya sebagai satu fenomena -- akan menjadikan PSG pasukan yang mahu dikalahkan setiap pasukan.

"Ia akan menjadi satu fenomena," kata Cafu kepada Stats Perform News.

"Saya mahu bermain menentang mereka. Bermain menentang Messi, Mbappe dan Neymar pasti sukar.

"Ia akan menjadi trio yang amat kuat. Amat jelas saya tidak tahu sama ada Messi akan ke PSG atau tidak, Itulah khabar angin yang diperkatakan ketika ini.

"Tetapi jika Messi menyertai Mbappe dan Neymar, PSG akan memberikan masalah buat kebanyakan kelab. Mereka akan menjadi pasukan sasaran untuk ditewaskan di dunia.

"Messi satu fenomena. Cara Messi bermain bola sepak adalah yang paling indah di dunia. Bersama bakat Neymar dan Mbappe, ia akan menjadikan mereka pasukan yang tidak terkalah," katanya.