AMIENS 2 PARIS SAINT-GERMAIN 2

Hasrat PSG untuk mencatat kutipan 100 mata musim ini terpaksa dilupakan apabila terikat 2-2 dengan Amiens dalam aksi liga ketika bertandang ke Stade De La Licorne, awal pagi tadi.


Amiens melayan kunjungan PSG berbekalkan semangat hanya meraih satu kekalahan dalam tujuh aksi terakhir, termasuk mengikat juara musim lalu, Monaco, 0-0 minggu lalu.

Sementara itu, PSG yang sudah pun memastikan kejuaraan liga musim ini pada bulan lalu turun dengan misi untuk mendapatkan tiga mata tatkala mereka berpeluang untuk menghimpun 100 mata pada akhir musim.

Harapan itu tampak cerah apabila penjaring terbanyak sepanjang zaman PSG, Edinson Cavani, melepasi perangkap ofsaid untuk menyudahkan bola hantaran Javier Pastore sebelum tenang menewaskan Regis Gurtner untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-26.

PSG hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-41 tetapi kali ini Gurtner cemerlang untuk menafikan cubaan Angel Di Maria dengan menumbuk bola keluar.

Tuan rumah hanya memerlukan dua minit sebaik babak kedua bersambung untuk mengikat kedudukan apabila rembatan rendah Moussa Konate mudah menewaskan Alphonse Areola.

PSG kembali di depan pada minit ke-64, kali ini menerusi pemain berusia 20 tahun, Christopher Nkunku, yang menerima hantaran pendek Thiago Motta sebelum melencongkan bola melepasi jangkauan Gurtner.

Ketika aksi berbaki 11 minit, Konate sekali lagi memadamkan pendahuluan pelawat.

Penyerang dari Senegal itu menerima bola lorongan Gael Kakuta dan kesilapan mudah yang dilakukan Areola membolehkan Konate tenang menyamakan kedudukan buat Amiens dan kedudukan 2-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

PSG kini di tangga teratas liga dengan 92 mata selepas 36 perlawanan sementara Amiens di tempat ke-12 dengan 42 mata.