Paris Saint-Germain (PSG) sah menandatangani pertahanan sayap baru, Achraf Hakimi, daripada Inter Milan dengan kontrak selama lima tahun.

Pemain kebangsaan Maghribi itu telah lulus ujian perubatan selepas Nerrazurri bersetuju dengan yuran pendahuluan €68 juta (RM334.38 juta) dan bonus €3 juta (RM14.75 juta).

Hakimi menyinar dalam Serie A sebaik menyertai Inter daripada Real Madrid, menghasilkan tujuh gol dan sembilan bantuan jaringan sepanjang dibawah kendalian Antonio Conte musim lalu, di mana mereka menjuarai Serie A buat pertama dalam tempoh sedekad ini.

"Saya berasa amat berbangga," kata Hakimi dalam laman web PSG.

"Selepas Sepanyol, Jerman dan Itali, Paris Saint-Germian menawarkan saya peluang untuk meneroka kejohanan baru dengan salah sebuah kelab paling berprestij di dunia.

"Saya tidak sabar untuk bertemu rakan sepasukan baru saya, penyokong dan merasai pengalaman yang luar biasa di Parc des Princes.

"Saya berkongsi impian yang besar bersama staff kejurulatihan dan rakan sepasukan dan akan melakukan segala yang termampu untuk menepati apa yang dijangkakan daripada saya," katanya.