Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappe bakal digandingkannya buat pertama kalinya ketika Paris Saint-Germain (PSG) menentang Club Brugge, demikian pengesahan dibuat Mauricio Pochettino.

Sejauh mana persembahan trio bintang itu beraksi sebagai satu unit mampu menentukan musim PSG dan jawatan Pochettino bersama gergasi Perancis berkenaan selepas perpindahan mengejutkan Messi daripada Barcelona.

Beberapa pemerhati menyuarakan kebimbangan bahawa dengan menurunkan ketiga-tiga mereka boleh membuatkan PSG terdedah di kawasan lain. Tetapi jika mereka serasi, maka PSG akan menjadi pencabar utama dalam Liga Juara-Juara (UCL), trofi yang mereka begitu dambakan.

Ketika ditanya adakah dia akan memilih ketiga-tiganya ketika membuka kempen Eropah awal pagi esok, Pochettino berkata: "Mungkin, ya. Ia satu kebarangkalian."

Tiada keraguan PSG memiliki tiga penyerang terbaik dunia tetapi membentuk sebuah pasukan yang mampu mencipta kejayaan adalah satu cabaran yang dihadapi pengurus berbangsa Argentina itu.

Bercakap dalam sidang berita sebelum perlawanan, Pochettino ditanya sama ada dia teruja dengan prospek itu mengulas: "Saya juga perlu gembira kerana saya tahu betapa terujanya semua orang," katanya.

"Saya akan dianggap gila untuk berfikir sebaliknya."



Pochettino sudah semestinya akur bahawa skuad kendalian itu adalah pencabar utama UCL musim ini, namun dia juga berkata kehandalan Chelsea yang dikemudi bekas pengurus PSG, Thomas Tuchel, juga harus dikekang sambil mentakrif mereka sebagai contoh yang yang harus diikuti.

"Chelsea merupakan juara bertahan dan kalau ada kelab yang perlu dikalahkan, mereka adalah pasukannya," tambahnya.

"Mereka juga memantapkan pasukan dengan mengikat pemain yang bagus dan berbelanja lebih besar daripada PSG.

"Kami masih belum serasi. Kami menandatangi ramai pemain musim panas ini. Terdapat beberapa nama besar tapi kami masih perlu membentuk pasukan seperti mana Chelsea melakukannya musim lalu.

"Chelsea adalah pasukan yang perlu ditundukkan memandangkan mereka telah mencapai sasaran. Kami adalah sekumpulan pemain yang perlu mencapai matlamat yang ditetapkan serta menjadi sebuah pasukan ampuh untuk memenuhi apa yang dihajati.

"Tiada tempoh yang tetap. Di PSG, anda akan dihakimi berdasarkan pencapaian. Sentiasa wujud tekanan di setiap kelab dan dalam soal ini, PSG merupakan kelab yang berhasrat menunaikan impian yang sudah sekian lama diidamkan iaitu UCL, ia sesuatu yang kami tidak boleh nafikan."