Keperitan gagal mencipta kejuaraan pertama Liga Juara-juara (UCL) selepas begitu hampir sebelum tewas di tangan Bayern Munich dalam perlawanan akhir 2019/2020 telah menambah keghairahan Presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi, untuk memperkuatkan The Parisian.

Jaguh Ligue 1 itu membawa beberapa nama-nama besar dalam arena bola sepak antarabangsa pada musim ini seperti Sergio Ramos, Gianluigi Donnarumma dan Lionel Messi.

Setelah dua tahun mencuba, ini merupakan tahun terbaik untuk PSG melakar sejarah tersendiri kerana mereka mempunyai sebuah pasukan yang lengkap di semua bahagian terutama serangan.





Kekuatan yang dimiliki PSG itu sudah tentu akan memberi tekanan pada benteng pertahanan Real Madrid sekiranya tidak mampu mengawal kelincahan Messi, Angel Di Maria dan Kylian Mbappe.

Walaupun ketika ini Messi tidak mempamerkan ketajaman sentuhan jaringanya dalam kancah domestik, namun sebagai penjaring kedua terbanyak (125 gol) dalam di pentas Eropah itu sepanjang kerjayanya, ia akan memberi kekuatan kepada Messi untuk terus memberi aksi terbaiknya.

Sudah tentu skil individunya serta kepantasan kaki kirinya mengelecek lawan dengan keputusan-keputusan pantas dan tepat itu akan memberi ruang kepada Di Maria serta Mbappe melakukan larian.

Dengan kekuatan ini akan memberi banyak pilihan untuk Mauricio Pochettino mempelbagai corak serangan The Parisian untuk menembusi beteng pertahanan The Blancos.






Walaupun mengikut rekod pertemuan ia memihak pada The Blancos tetapi bukan mudah untuk Carlo Ancelotti apabila menentang sebuah pasukan yang boleh dikatakan tekal setiap tahun dalam saingan ini selain mempunyai keinginan yang tinggi.

Kehadiran penyerang utama gergasi LaLiga itu, Karim Benzema, yang baru pulih daripada kecederaan belum pasti akan menjamin kemenangan Real Madrid di Stadium Parc des Princes kerana kekebalan pertahan The Parisian.

Ini boleh dilihat dari jumlah keseluruhan jaringan yang membolosi pintu gol PSG di Perancis apabila dibolosi 19 kali sahaja.

Ia menandakan kekuatan pertahanan PSG yang diketuai Marquinhos dan ia sudah cukup sukar buat anak didik Ancelotti kelak.

Apakah dengan semua kekuatan yang ada The Parisian mampu melakar senyuman? Jadi sama-sama kita tunggu keputusannya esok.