Lionel Messi menegaskan bahawa objektif Paris Saint-Germain (PSG) ketika ini adalah untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas pasukan itu diundi untuk bertemu Real Madrid dalam pusingan 16.

Pendahulu LaLiga, Madrid, akan menjadi halangan PSG untuk ke suku akhir selepas proses undian pusingan 16 itu terpaksa dilakukan semula gara-gara masalah teknikal.

PSG -- yang pada awalnya diundi bertemu Manchester United -- merupakan naib juara UCL musim 2019-20 tetapi pasukan gergasi Perancis itu tidak pernah dapat menawan peringkat Eropah.

Bekas bintang Barcelona, Messi, bersedia untuk kembali bertemu Madrid dalam perlawanan pertama pada 15 Februari depan bagi memastikan PSG dapat mencapai objektif itu.

"Objektif PSG adalah untuk memenangi UCL, itulah sasaran setiap orang," kata Messi di Dubai Expo seperti yang dipetik Marca.

"Pasukan ini pernah terlalu hampir sebelum ini. Ia kejohanan yang penting buat seluruh pasukan. Kami akan mencuba untuk memenanginya."



Messi meninggalkan Barca untuk menyertai PSG menerusi satu perpindahan blokbuster menjelang musim 2021-22.

pemain berusia 34 tahun itu pada awalnya kelihatan akan menandatangani kesepakatan baru dengan Barca tetapi terpaksa meninggalkan Camp Nou berikutan masalah kewangan kelab Catalan itu.

Messi kini telah menjaringkan satu gol daripada 10 penampilan Ligue 1 selain lima gol dalam lima perlawanan UCL.

"Ia peluang yang amat besar setelah sekian lama mencuba, jadi ia bukan sesuatu yang mudah.

"Tetapi kami berada dalam keadaan yang amat baik di sebuat bandar yang hebat dan di sebuah pasukan terbaik di dunia," katanya lagi.