PSG kenduri gol di laman sendiri

Penulis Jemputan
Januari 18, 2018 02:55 MYT
PSG 8 DIJON 0
Pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), terus mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas membelasah Dijon 8-0 dalam aksi di Parc Des Princes, awal pagi tadi.
Ternyata pelawat bukan tandingan buat skuad kendalian Unai Emery itu yang membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi percubaan Angel Di Maria dari luar kotak penalti, sebelum pemain Argentina itu menambah gol kedua pada minit ke-15 apabila menyempurnakan bola lorongan Neymar.
Enam minit kemudian, giliran Edinson Cavani meletakkan nama dalam senarai penjaring selepas menanduk masuk hantaran lintang Di Maria dari sebelah kanan yang menewaskan Baptiste Reynet.
Sepakan percuma Neymar ketika babak pertama berbaki tiga minit meletakkan PSG berada dalam kedudukan selesa dengan bekalan empat gol sebelum menuju ke bilik persalinan.
Separuh masa kedua menyaksikan tuan rumah mengekalkan penguasaan sehingga membolehkan Neymar menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-57 selepas menggunakan kesempatan hasil kesilapan pertahanan Dijon, Cedric Yambere, yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dengan kemas.
Pemain termahal dunia itu melengkapkan hatrik dengan penuh bergaya apabila melepasi empat pertahanan pelawat sebelum melepaskan rembatan leret untuk membuatkan Reynet tewas buat kali keenam pada minit ke-73.
Bintang Brazil itu terus membuktikan kewibawaannya empat minit kemudian, kali ini membuka ruang buat pemain yang dipinjamkan dari AS Monaco, Kylian Mbappe, untuk pemain sayap Perancis itu melepaskan rembatan kaki kiri tepat ke gawang lawan.
Tiga gol nyata belum cukup buat Neymar apabila dia mencatat nama dalam senarai penjaring buat kali keempat menerusi sepakan penalti pada minit ke-83, selepas Cavani dijatuhkan oleh Yambere.
Kedudukan 8-0 kekal sehingga wisel penamat untuk membolehkan PSG meraih kemenangan ke-18 pada musim ini, meletakkan mereka selesa di puncak liga dengan 56 mata, 11 mata mengatasi pasukan tangga kedua, Olympique Lyon.
#Neymar #PSG #Angel Di Maria #Ligue 1 #Edinson Cavani