Georginio Wijnaldum bersetuju untuk mengikat kesepakatan dengan Paris Saint-Germain (PSG) walaupun sekian lama dikaitkan untuk meyertai Barcelona.

Pemain kebangsaan Belanda itu menandatangani kontrak tiga tahun di Parc des Princes dengan tawaran gaji yang dilaporkan berlipat kali ganda daripada pasukan Paris itu.

Wijnaldum menyertai Liverpool daripada Newcastle United pada 2016 dan berkembang menjadi tonggak utama skuad The Reds itu dan hanya terlepas 11 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang lima tahun perkhidmatannya.

Liverpool mencuba untuk mengekalkan pemain berusia 30 tahun itu tetapi menyedari bahawa kedua-dua pihak gagal menemui kata sepakat bagi kontrak terbaru pemain itu bulan lalu.

Ia kemudian mencetus spekulasi yang melibatkan perpindahannya ke Barcelona, terutama selepas Ronald Koeman menggantikan Quique Setien sebagai ketua jurulatih pasukan itu pada Ogos lalu.

Dia dijangka akan menyertai Barca secara perpindahan percuma tetapi PSG telah melakukan sesuatu yang mencukupi untuk membawa Wijnaldum ke Paris dan menghangatkan perseteruan dengan Barca dalam perebutan pemain.

Wijnaldum akan memperkuatkan bahagian tengah PSG yang turut dibarisi nama-nama besar seperti Idrissa Gueye, Leandro Paredes, Ander Herrera, Danilo Pereira dan Marco Verratti.