Mauricio Pochettino memberi keutamaan kepada kempen Ligue 1 daripada kejohanan lain dalam musim pertamanya bersama Paris Saint-Germain (PSG) sambil menawarkan sokongan kepada Sergio Rico dalam kekalahan kepada Lorient.

PSG tewas 2-3 di Stade du Moustoir, kelmarin, untuk menempa kekalahan pertama di bawah pengurus baru itu.

Penjaga gol kelahiran Sepanyol, Rico, menggantikan tempat Keylor Navas selepas pilihan utama itu terlepas perlawanan akibat kecederaan perut.

Begitupun, Rico menerima kritikan hebat berhubung penampilannya itu, lantas menimbulkan keraguan mengenai potensinya sebagai pelapis bintang Costa Rica berkenaan.

Navas nampaknya akan terlepas kunjungan ke Nimes awal pagi esok selepas mengadu masalah di pangkal pahanya, ini bermakna Rico berkemungkinan akan berada dalam senarai kesebelasan utama.

Sejak awal musim lalu, jaguh Ligue 1 itu merekodkan peratusan kemenangan yang jauh lebih baik apabila Navas membarisi pasukan (78.4 peratus kemenangan daripada 37 perlawanan) sementara Rico 57.1 peratus daripada tujuh perlawanan.

Mereka juga dibolosi dengan purata dua jaringan ketika Rico memainkan peranan utama (1.4 peratusan gol per perlawanan) dibandingkan dengan Navas (0.7 gol per perlawanan), tetapi pengurus kelahiran Argentina itu meniupkan semangat kepada pemain berusia 27 tahun tersebut.

"Adalah penting semua pemain dalam keadaan cergas supaya persaingan antara mereka dapat membantu mereka mencapai tahap terbaik," katanya kepada wartawan.



"Tonggak yang jarang beraksi harus dapat beraksi dan menyajikan prestasi dengan baik apabila berpeluang berada di atas padang.


"Kadang-kadang sukar untuk mencari elemen positif disebabkan kekalahan lalu tetapi kami gembira dengan Sergio termasuk prestasinya bersama pasukan, dan kami mengharapkan dia mampu beraksi dengan baik lagi."