Neymar menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihannya dan perkara itu disahkan oleh Paris Saint-Germain (PSG).

Pemain termahal dunia itu mengalami kecederaan patah tulang kaki ketika menentang Marseille pada Februari lalu, sekali gus menyebabkannya berkemungkinan terlepas aksi Piala Dunia 2018 bersama Brazil.

Pengendali PSG, Unai Emery, semalam menyifatkan pemain berusia 26 tahun itu bakal kembali beraksi pada penghujung musim ini.

Tatkala Piala Dunia hanya berbaki dua bulan sebelum melakukan sepak mula, pendahulu Ligue 1 itu menjelaskan laporan kesihatan mengenai perkembangan Neymar.

“Laporan yang dikeluarkan semalam oleh Dr Rodrigo Lasmar mengesahkan perkembangan positif Neymar,” kata satu kenyataan wakil PSG.

“Dia kini sedang menjalani proses pemulihan pada buku lali kaki kanan dan sudah mula berjalan.

“Perkembangan dalam masa 10 hari lagi akan mengesahkan tarikh tepat untuknya kembali turun berlatih.”

PSG bakal bergelar juara Ligue 1 sekiranya mereka menewaskan juara bertahan, Monaco, di Parc Des Princes, esok.