Bastian Schweinsteiger berkata dia teruja dengan 'visi' di Chicago Fire selepas kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) itu mengesahkan dia telah menandatangani kontrak selama setahun.

Semalam, Manchester United mengumumkan bekas ketua pasukan Jerman itu akan berpindah ke Amerika Syarikat (AS) tertakluk kepada ujian perubatan dan permohonan visa.

Fire kemudian mengesahkan perpindahan pemain berusia 32 tahun itu ke Toyota Park telah dimuktamadkan. Ini bermakna dia tidak akan tertakluk dengan syarat harga siling gaji yang ditetapkan MLS.

"Sepanjang kerjaya saya, saya sentiasa mencari peluang di mana saya berharap untuk memberi impak positif dan untuk membantu melakukan sesuatu yang hebat. Langkah saya ke Chicago Fire tiada bezanya," Schweinsteiger memberitahu laman rasmi kelab itu.

"Saya yakin dengan visi dan falsafah kelab ini dan saya mahu membantu mereka dengan projek ini."

Pengurus Besar Fire, Nelson Rodriguez, pula berkata, "Ini adalah detik bersejarah bagi kelab ini.

"Kami telah menambah salah satu daripada jaguh terbesar dalam sukan. Bastian adalah pemain berbakat, sikap, dan wataknya akan menjadi pelengkap sempurna kepada skuad kami dalam usaha membina sebuah pasukan juara."

Ketua jurulatih Fire, Veljko Paunovic, menambah: "Mempunyai bahagian tengah yang paling mantap adalah penting untuk bagaimana kami mahu bermain.

"Kami melihat Bastian mampu membantu organisasi kami dalam menjana serangan dan memberi kesan di kubu lawan menerusi visi dan kreativitinya dalam menghasilkan hantaran terakhir serta keupayaannya menjaringkan gol.

"Aksinya yang serba boleh dan pengalaman luasnya di peringkat tertinggi sukan ini akan memberi manfaat besar kepada pasukan kami."