Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee, menyeru program akar umbi harus dipertingkatkan sementara menghasilkan barisan jurulatih yang berkualiti bakal melahirkan bakat yang lebih baik.

Kim Swee, 50, diberi tugas untuk menggalas jawatan Pengarah Teknikal FAM itu bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Peter de Roo.

Bekas pemain tengah Melaka, Sarawak dan Sabah pada era 1990-an itu sebelum ini memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Teknikal FAM merangkap Ketua Unit Belia FAM.

Kim Swee memulakan karier kejurulatihannya dengan menjadi ketua jurulatih Melaka sebelum namanya melonjak sebagai jurulatih yang berjaya mencungkil bakat-bakat muda negara bermula sebagai jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan seterusnya menjadi peneraju utama skuad Harimau Muda.

Kemuncaknya, Kim Swee berjaya membawa skuad B-23 kebangsaan meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia dan disusuli pingat perak Sukan SEA 2017 di laman sendiri, selain turut mengemudi pasukan muda negara melakar sejarah mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China dan layak ke peringkat kalah mati Sukan Asia 2018 di Indonesia.

"Pemilihan ini merupakan sebagai daripada perancangan dan saya harus bersiap sedia dengan sebarang keputusan," katanya.

"Dalam perjalanan dalam sukan bola sepak, bermula sebagai pemain, sudah tentu ingin mewakili negeri dan negara dan selepas itu melangkah ke bidang kejurulatihan, mengendalikan skuad negeri kemudian ke peringkat antarabangsa.

"Selepas itu, hanya satu sahaja lagi bidang boleh diceburi iaitu menjadi pengarah teknikal bola sepak. Jawatan ini merangkumi pelbagai aspek dalam badan induk bola sepak negara dan ia melibatkan kerjasama ramai pihak.

"Saya telah bekerjasama bersama De Roo selama tiga tahun dan bertindak sebagai penolong beliau, ia menjadi sasaran semasa adalah memastikan kelangsungan pelan F:30.

"Saya sangat terharu kerana digandingan bersama Lim Chin Kun serta Razip Ismail, dua individu yang sangat berpengaruh dan sangat fasih dengan kelangsungan arus bola sepak Malaysia ketika ini."

Membincangkan mengenai pembangunan bola sepak negara, Kim Swee, menjelaskan, "Banyak aspek yang boleh dipertingkatkan dalam mutu bola sepak Malaysia. Terdapat peningkatan yang dipamerkan baru-baru ini. FA harus memainkan peranan penting kerana FC akan bertindak untuk mengendalikan pasukan profesional. Penganjuran saingan di peringkat akar umbi serta kejohanan remaja harus menjadi sesuatu yang boleh meningkatkan lagi bakat dalam bola sepak."

Mengenai cabaran bertindak selaku pengarah teknikal FAM, Kim Swee berkata, "Saya sering memikirkan perkara yang positif, dan mahu menitik beratkan daripada segi kejurulatihan. Jika kita dapat memupuk dan menghasilkan jurulatih yang baik, sudah tentu kami akan menghasilkan pemain yang berkualiti."

Ikuti temubual penuh bersama Datuk Ong Kim Swee dalam rancangan [email protected] di FB Astro Arena.