Presiden Barcelona, Joan Laporta, menuntut kesabaran dan kepercayaan peminat tatkala dia berusaha untuk menyelesaikan masalah gergasi Catalan itu baik di atas mahupun di luar padang.

Isu kewangan berlarutan yang dialami Barca menyaksikan mereka kehilangan Lionel Messi kepada Paris Saint-Germain (PSG) secara percuma, bulan lalu.

Antoine Griezmann turut kembali ke juara bertahan, Atletico Madrid, atas dasar pinjaman pada saat-saat akhir jendela perpindahan dalam usaha mereka mengimbangi kedudukan kewangan.

Barca tetap mampu mengancam sekalipun tidaklah begitu mengagumkan apabila memulakan kempen LaLiga dengan mengutip tujuh mata daripada sembilan mata maksimum untuk membantu menghangatkan suasana di sekitar Camp Nou.

Begitupun, kekalahan 0-3 kepada Bayern Munich semalam -- kali pertama Barca tewas dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara (UCL) dalam tempoh 23 musim -- secara tidak langsung mencetuskan keraguan potensi mereka.

Malah, Sergi Roberto dicemuh oleh sebahagian penyokongnya sendiri ketika digantikan hingga ketua pasukan, Gerard Pique, meluahkan rasa terlukanya.

Dengan keresahan penyokong semakin memuncak dalam tempoh sukar buat jaguh LaLiga itu, ia mendorong Laporta untuk mengeluarkan kenyataan menerusi satu rakaman di media sosialnya.

"Hello Cules. Seperti anda semua, saya juga terkilan dan kecewa," katanya.

"Saya perlu memberitahu anda apa yang berlaku. Ini adalah salah satu situasi yang kami jangkakan.

"Saya memohon kesabaran anda semua agar anda terus memberikan sokongan. Saya juga mahu anda untuk mempercayai kami -- pihak yang menguruskan kelab.

"Kami memerlukan kepercayaan anda dan juga masa. Jangan meragui bahawa kami mampu memperbaiki keadaan ini."







Penyerang berbisa Bayern, Robert Lewandowski, meledak jaringan berganda selepas Thomas Muller terlebih dahulu membuka tirai jaringan dalam separuh masa pertama pertembungan Kumpulan E itu.

Barca julung kalinya tumpas buat kali ketiga berturut-turut dalam pertandingan Eropah sesudah dikecewakan Juventus dan Paris Saint-Germain (PSG) di Camp Nou musim lalu.

Dalam perlawanan Eropah pertama mereka sejak Messi angkat kaki, untuk pertama kalinya juga skuad Catalan itu gagal mencatat sebarang percubaan tepat dalam UCL sejak data Opta mula diperkenalkan pada 2003-04.