Kegagalan memperbaiki ranking pasukan bola sepak kebangsaan mendorong Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, meletak jawatan sebagai presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan serta-merta.

Ranking dunia yang dikeluarkan hari ini menyaksikan kedudukan Malaysia jatuh tiga anak tangga lagi untuk menduduki tempat ke-178 berbanding 175, bulan lalu.

Pengumuman peletakan jawatannya dibuat melalui satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers, sebentar tadi.

"Baru-baru ini ranking pasukan kebangsaan jatuh tiga anak tangga dan ini merupakan satu kegagalan yang amat besar. Oleh itu, saya rasa Presiden FAM harus letak jawatan.

"Terima kasih untuk segala-galanya dan ia satu penghormatan untuk berkhidmat kepada bola sepak Malaysia. Selamat maju jaya," titah Tunku Ismail.

Baginda, yang dipilih menjawat jawatan presiden dalam Kongres FAM Ke-53 pada Mac 2017, menjelaskan telah memperbetulkan struktur bola sepak tanah air, menarik penaja untuk menyumbang kepada bola sepak negara dan menyediakan pelan jangka panjang seperti melakukan kerjasama dengan LaLiga.

"Saya juga telah memperjuangkan hak penyiaran untuk kesemua pasukan bertanding dalam Liga Malaysia bagi meningkatkan kestabilan kewangan.

"Ini adalah satu sejarah dalam bola sepak tanah air apabila buat pertama kalinya setiap pasukan bertanding telah menerima sebanyak RM1 juta hingga RM3 juta setahun untuk wang hak penyiaran.

"Setiap pasukan tidak lagi menggunakan duit rakyat daripada kerajaan.

"Dalam pada itu, skuad B-23, B-19 dan B-16 telah berjaya melakar sejarah buat pertama kalinya mewakili negara dalam pertandingan peringkat tertinggi di Asia," titah baginda lagi.