Pasukan muda Liverpool diikat 1-1 dengan Wacker Innsbruck dalam perlawanan persahabatan mini selama 30 minit pertama di Austria sebelum pasukan utama mereka turut terikat seri dengan Stuttgart dalam perlawanan kedua.

Mohamed Salah, Sadio Mane dan pemain baru, Ibrahima Konate, beraksi bersama pasukan utama dalam perlawanan kedua menentang lawan dari Bundesliga berkenaan manakala Trent Alexander-Arnold, Joel Matip dan Ben Davies pula beraksi dengan pasukan yang lebih muda menentang Innsbruck.

Alexander-Arnold kembali beraksi buat kali pertama sejak mengalami kecederaan paha sewaktu mewakili England menentang Austria pada Jun lalu, yang menyaksikannya turut terlepas kempen Euro 2020 bersama The Three Lions.

Dalam perlawanan pertama, Divock Origi membuka jaringan menerusi sepakan penalti susulan satu insiden bola terkena tangan.

Bagaimanapun, jaringan itu dipadamkan gol tandukan Ronivaldo yang melepasi kawalan Loris Karius untuk pasukan Austria itu mengikat skuad kendalian Jurgen Klopp berkenaan.

Dalam perlawanan menentang Stuttgart selepas itu, Philipp Forster melakukan gerakan licik menewaskan Adrian untuk meletakkan pasukan kendalian Pellegrino Matarazzo itu di depan pada minit ke-10.

Liverpool, bagaimanapun, memberikan respons menerusi penyudah jarak dekat Mane untuk The Reds sekadar meraikan dua keputusan seri dalam siri pramusim itu.

Mereka seterusnya akan menentang Mainz, Sabtu ini sebelum melengkapkan siri pramusim mereka dengan bertemu Hertha Berlin, Athletic Bilbao dan Osasuna.