Persiapan pramusim Chelsea di Ireland berdepan tamparan besar apabila terpaksa membatalkan aksi persahabatan dengan Drogheda United selepas salah seorang pemain The Blues dikhuatiri positif koronavirus.

Pemenang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu sudah melewati hari ketiga di Dublin tetapi mereka terpaksa memaklumkan lawan dari Divisyen Perdana Liga Ireland itu bahawa seorang pemain mereka berkemungkinan positif COVID-19.

Jurucakap Chelsea berkata: "Awal hari ini, kami menyedari terdapat kemungkinan satu kes positif koronavirus yang sedang kami siasat. Individu itu telah diasingkan daripada pasukan.

"Kami juga memilih, sebagai langkah keselamatan, untuk membatalkan perlawanan secara tertutup menentang Drogheda malam ini."

Selain aksi 90 minit itu, Thomas Tuchel juga bergelut untuk mengatasi pramusim buruk kali ini memandangkan ramai pemain utamanya lewat tiba kerana menyertai saingan Euro 2020 dan Copa America.

Mereka hanya sempat mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang Peterborough United secara tertutup di Cobham, yang dimenangi skuad kendalian Tuchel itu 6-1, tetapi mereka perlu berusaha keras mendapatkan persiapan terbaik menjelang pertembungan Piala Super UEFA dengan Villarreal pada 11 Ogos ini.