Pengurus Celtic, Ange Postecoglou, mengakui ia adalah kisah lama yang sama kerana harapan pasukannya untuk mara ke Liga Juara-Juara berakhir dengan kekalahan kepada RB Leipzig.

Juara Scotland itu sekali lagi terlepas beberapa siri peluang apabila mereka tewas 2-0 di tempat sendiri menentang pasukan Jerman itu.

Gol dalam tempoh 15 minit terakhir daripada Timo Werner dan Emil Forsberg menyaksikan Celtic sekadar mengumpul satu mata daripada empat perlawanan dan tiada peluang untuk menamatkan saingan di kelompok dua terbaik Kumpulan F.

Matt O’Riley dan Greg Taylor menggegar tiang gol dan Daizen Maeda, Kyogo Furuhashi dan pemain gantian Giorgos Giakoumakis semuanya terlepas peluang terhidang.

Celtic hanya menjaringkan dua gol dalam kempen mereka walaupun mencipta jumlah peluang yang sihat dalam setiap perlawanan.

Postecoglou berkata: "Saya fikir kami menunjukkan semua usaha dan berusaha untuk cuba memenangi permainan bola sepak tetapi, seperti yang kami dapati pada tahap ini, jika anda tidak mengambil peluang anda, sangat sukar untuk mendapatkan keputusan yang diinginkan.

“Ia bukan kekecewaan, saya cuma mahu pemain mendapat ganjaran atas usaha mereka.

“Ia adalah kisah kempen kami setakat ini -- banyak peluang yang gagal dilunaskan.

"Saya kecewa untuk pemain dan penyokong kami kerana mereka tidak mendapat ganjaran mereka."