Joao Felix tidak dijangka akan menjadi pemain agresif untuk Portugal, tetapi Fernando Santos mencadangkan bintang Atletico Madrid itu perlu melakukan lebih lagi untuk menyerlah.

Portugal bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Luxembourg 3-1 awal pagi tadi, melangkah ke puncak Kumpulan A bagi saingan kelayakan Piala Dunia.

Gerson Rodrigues meledak gol kedua untuk membenarkan Luxembourg mendahului, tetapi Diogo Jota, Cristiano Ronaldo dan pemain gantian, Joao Palhinha, memastikan tiga mata buat Portugal.

Jaringan penyamaan Jota, telah diumpan oleh bekas rakan sepasukannya di Wolves, Pedro Neto, yang menggantikan Joao Felix pada minit ke-41.

Turut dalam kesebelasan utama buat pertama kali dalam saingan kelayakan, Joao Felix kelihatan bergelut dengan kecederaan buku lali, dialami ketika percubaannya dihadang dalam kotak penalti.

Ia merupakan satu-satunya percubaan pemain muda itu, sementara gagal menghasilkan peluang dan sekadar menyempurnakan 18 daripada 25 hantaran.

Neto pula menamatkan perlawanan dengan dua assist, masing-masing buat Jota dan Palhinha dan ia merupakan persembahan dipuji Santos, yang memberikan bayangan kesukaran buat Joao Felix untuk menyesuaikan diri dalam pasukannya.

"Neto mempunyai gerakan yang berbeza, dinamik lain, turun membantu pasukan, dia pergi mencari bola," kata Santos.

"Dia selalu mengambil bahagian dalam aksi bertahan. Joao selalu menghadapi lebih banyak kesukaran. Dia mempunyai cara sendiri untuk bermain, dia bukan pemain agresif, kami tidak menjangkakannya.

"Dia mempunyai banyak kualiti teknikal, dia mempunyai kualiti untuk membuat perbezaan, tetapi kita semua harus bersama-sama agar perkara ini dapat berjalan lancar."

Gol Ronaldo adalah yang ke-103 untuk Portugal, membawa pemain berusia 36 tahun itu dalam enam gol di belakang legenda Iran, Ali Daei, sementara dia juga telah mencetak gol dalam setiap tahun kalendar sejak membuat debut antarabangsa pada tahun 2004.

Bintang Juventus itu terlepas dua peluang ketika pasukan mendahului 2-1, dan Santos mengakui pasukan perlu menyeimbangkan antara permainan menggunakan kekuatan fizikal dan bakat yang dimiliki.

"Kualiti teknikal sahaja tidak akan menang di sini, jika kita tidak mengimbangkan faktor-faktor penting ini," katanya.

"Bukannya pemain tidak mahu. Kami menghadapi kesukaran. Tetapi kemudian ada reaksi segera, kami menjaringkan gol pada saat penting.

"Separuh masa kedua [lebih baik]. Gol muncul dan kami boleh menjaringkan lebih banyak gol. Kami mempunyai peluang."