QATAR 1 PORTUGAL 3

Pengendali Portugal, Fernando Santos, gusar dengan jumlah gol yang dibolosi anak buahnya dalam beberapa perlawanan baru-baru ini.


Selecao mencetak kemenangan 3-1 ke atas Qatar yang menghabiskan permainan dengan sembilan pemain dalam perlawanan persahabatan awal pagi tadi untuk kemenangan berturut-turut sejak terkandas dalam pusingan Euro 2020.

Santos membuat 11 perubahan selepas kemenangan lewat 2-1 ke atas Republik Ireland sebelum Portugal meluangkan masa untuk menentang pasukan tuan rumah Piala Dunia 2022 itu.

Bagaimanapun, gol pantas daripada Andre Silva dan debut Otavio meletakkan Portugal dalam kawalan separuh masa pertama dan Qatar makin tempang apabila Meshaal Barsham dibuang padang.

Portugal mengendurkan permainan dalam babak kedua sekali gus memberi ruang kepada lawan mereka untuk mengurangkan defisit gol menerusi tandukan Abdelkarim Hassan.




Bruno Fernandes kemudian menyempurnakan sepakan penalti untuk mengesahkan kemenangan buat juara Eropah 2016 itu, tetapi Santos tidak begitu berpuas hati dengan prestasi pasukannya yang jauh berubah.

"Dalam 15 minit pertama, kami bagus dalam organisasi bertahan," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Ketika Qatar menyusun serangan dari belakang, kami bertindak bagus. Kami tidak pernah membiarkan Qatar mengatur gerakan. kami mencuri banyak bola dan memiliki peluang gol ketika melancarkan serangan balas.

"Tetapi kami sangat lambat mengatur gerakan dan banyak hantaran yang tersasar. Ia membolehkan Qatar mencipta dua atau tiga peluang dalam serangan balas.

"Mereka mempunyai pemain yang sangat pantas di barisan depan. Pada 15 minit pertama permainan, daripada segi peluang meledak jaringan, kami jadi setaraf.

"Selepas tempoh 15 minit itu, kami tidak melakukan serangan balas, kami menampilkan corak permainan yang berbeza, terlalu berhati-hati.

"Kami beraksi dengan sangat baik, menjadikannya 2-0 dan patut lebih banyak gol lagi.

"Kami masih bagus dalam 10 minit pertama babak kedua. Tetapi kami mula tenggelam dan membiarkan lawan merampas bola lalu mereka menjaringkan gol, ini bermaksud kami tidak boleh melonggarkan permainan."

Portugal, yang memerlukan tandukan akhir Cristiano Ronaldo untuk mengatasi Republik Ireland Khamis lalu, kini bolos sembilan kali dalam lima perlawanan terakhir selepas mereka kebal tiga perlawanan berturut-turut pada awal tahun ini.

"Pasukan yang melepaskan sembilan gol dalam lima perlawanan adalah sesuatu yang membimbangkan," tambahnya.

"Ada perkara-perkara yang sering kami lakukannya dengan baik dan salah satunya bertahan ketika bola mati.

"Sangat jarang bagi kami untuk bolos dengan jumlah sebegini, tapi sekarang kami melakukannya. Saya sudah memberitahu pemain tentang hal ini. Pagi ini kami meluangkan masa untuk memperbaiki aspek bertahan ketika bola pegun."

Portugal akan turun dalam perlawanan keenam kelayakan Piala Dunia dengan bertandang ke Azerbaijan, tengah malam Rabu depan.