INTER 2 CHIEVO 0

Pengurus Inter, Luciano Spalletti, menempelak sebilangan akhbar Itali yang mengaitkan Antonio Conte dengan jawatannya di kelab Serie A berkenaan.


Jaringan Matteo Politano dan Ivan Perisic menjamin kemenangan 2-0 ke atas Chievo awal pagi tadi untuk Inter mendaki ke tangga ketiga dengan baki dua perlawanan lagi.

Inter menghampiri tiket kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) buat musim kedua berturut-turut di sebalik masa depan tidak menentu Spalletti di San Siro.

Bekas pengendali Juventus, Itali dan Chelsea, iaitu Conte, semakin kerap dikaitkan akan mengambil alih kerusi panas di Inter itu dan berita tersebut mengecewakan Spalletti.

"Selama tiga bulan ini, topik yang sama sering dibangkitkan. La Gazzetta dello Sport telah menulis berita yang sama selama tiga bulan," kata Spalletti kepada Sky Sport Italia.

"Jika seseorang pada setiap hari mengatakan esok akan hujan, akhirnya hujan mungkin turun.

"Anda berterusan menyoal saya tentang perkara yang sama setiap minggu dan saya tidak mahu berkelakuan tidak sopan dengan tidak mengendahkannya.

"Sekiranya La Gazzetta dello Sport telah membangkitkan perkara yang sama selama dua tahun dan selama tiga bulan terakhir ini mereka melakukannya setiap hari, maka mereka mesti tahu sesuatu.

"Berita itu juga agak menjengkelkan dengan memaparkan tajuk-tajuk utama yang berbunyi, 'anda berbelanja mewah tetapi tiada hasil, anda gagal' dan akhirnya ia mencetuskan masalah buat anda.

"Ini bukan soal mengenai saya memandangkan khabar angin seperti ini sudah berlarutan di Inter selama tujuh tahun.

"Ia berniat jahat dan menyinggung perasaan sementara layanan yang diterima kelab lain pula berbeza. Saya tidak pasti sama ada wujud masalah kekeluargaan dan persahabatan dalam hal itu.

"Kebenarannya, Ketua Eksekutif, Giuseppe Marotta, sedang mencari jalan terbaik buat Inter, jadi berita yang dipaparkan adalah tidak benar."

Kemenangan Inter ke atas Chievo mengakhiri rentetan tiga perlawanan liga tanpa kemenangan, justeru Spalletti tertarik dengan persembahan barisan pemainnya sungguhpun dalam masa sama, dia mengakui masih ada ruang untuk diperbaiki.

"Saya melihat kematangan, fikiran yang jelas, ketajaman dan kesedaran pemain untuk mengelak daripada melakukan kesilapan mudah," katanya.

"Kami sering membuat hantaran ke sebelah sayap kerana didorong corak permainan Chievo.

"Begitupun, memang benar kualiti hantaran kami tidak begitu baik dan kami sepatutnya boleh melakukannya dengan lebih baik lagi."