Pengurus Valencia, Marcelino, menyifatkan pemain Manchester United yang sedang mengalami kemerosotan prestasi, Paul Pogba, belum mencapai tahap sehebat Geoffrey Kondogbia.

Prestasi Pogba tampak merudum, terutama apabila menampilkan aksi longlai ketika perlawanan pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah di antara United dan Sevilla, yang menyaksikan The Red Devils tersingkir daripada kejohanan.

Bekas tonggak tengah Juventus itu dibawa masuk selepas sejam perlawanan, namun gagal mencetuskan sebarang impak, malah melakukan beberapa kesilapan besar sehingga membuatkan legenda United, Roy Keane, melabelkan aksinya seperti “budak sekolah”.

Kondogbia pula dilihat menikmati musim pinjaman bersama Valencia dari Inter Milan dan menjadi nadi utama ketika menewaskan Sevilla 2-0 minggu lalu, sekali gus meletakkan diri di tangga keempat liga dan 11 mata mengatasi seteru utama itu.

Bagaimanapun, dia tidak disenaraikan oleh pengurus skuad kebangsaan Perancis, Didier Deschamps, bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Colombia dan Russia selepas kali terakhir menyarung jersi Les Bleus pada September 2015.

“Kondogbia bukan sahaja beraksi cemerlang bertemu Sevilla tetapi dia melalui hampir keseluruhan musim dengan bagus,” kata Marcelino.

“Dia adalah kunci utama pasukan, menjadi nadi utama dalam corak permainan kami dan walaupun saya tidak mengikuti perkembangan skuad Perancis, saya tidak rasa ada antara mereka yang mencapai tahap sepertinya.

“Kita melihat Pogba ketika menentang Sevilla dan Kondogbia bertemu lawan sama. Aksi kedua-dua mereka tidak boleh dibandingkan.

“Apapun, saya tetap menghormati keputusan pengurus pasukan Perancis dan selaku pengendali Valencia, saya gembira dia bersama kami,” ujarnya.