Jika ditanya siapakah pemain tengah paling menyerlah sepanjang musim ini, ada beberapa nama yang pantas muncul di minda.

Kevin De Bruyne pastinya menjadi sebutan ramai atas sumbangannya membantu Manchester City kembali menjulang trofi juara Liga Perdana Inggeris.

Luka Modric, kuda tua yang seakan-akan tidak dimamah waktu, memainkan peranan penting dalam menjadikan Real Madrid juara Eropah sekali lagi. 

Tidak lupa juga akan Pedri, pemain muda Barcelona yang menyuntik elemen kreatif sehingga berjaya menjadi pilihan kekal dalam kesebelasan utama pada usia semuda 20 tahun.

Namun, artikel hari ini bakal membincangkan seorang pemain yang dahulunya pernah disebut sebagai antara pemain tengah terbaik dunia, namun teruk tenggelam sejak beberapa tahun kebelakangan -- Paul Pogba.

Terdapat sebuah buku sastera klasik berjudul 'The Strange Case of Dr. Jekyll and Mr. Hyde' yang mengisahkan seorang lelaki yang mempunyai dua personaliti jauh berbeza.

Pada siang hari, watak utama kisah ini dikenali sebagai Dr. Jekyll, seorang lelaki yang cukup baik hati mulia dan dihormati, sedangkan pada waktu malam, beliau berubah menjadi 'Mr. Hyde', seorang yang kejam, tiada belas kasihan dan keji-sekejinya.

Melihatkan perjalanan Pogba sejak kembalinya dia ke Manchester United pada tahun 2016, perbandingan dengan kisah sastera itu cukup mirip sekali.






Pogba, sewaktu bersama kelabnya yang terdahulu, Juventus, boleh diibaratkan sebagai Dr. Jekyll, bintang yang disegani, dihormati dan digeruni, seorang pemain yang beraksi dengan penuh kegirangan dan keajaiban.

Pogba yang menyertai Manchester United merupakan seorang pemain yang kelihatan malas, tidak bersemangat dan paling utama, tidak konsisten -- Mr. Hyde.

Aneh sekali, jika hendak dikatakan dia sudah hilang ketajaman dan potensinya, dia mempamerkan aksi yang jauh berbeza sewaktu beraksi bersama pasukan kebangsaan Perancis.

Kesimpulannya hanya satu, Manchester United bukanlah pasukan yang memberikannya keseronokan, malah membataskan segala potensi dan kemampuannya.








Menurut laporan The Daily Mail, urusan Pogba untuk kembali semula ke pangkuan Juventus telah selesai.

Biarpun ura-ura mengatakan Paris Saint-Germain (PSG) turut sama menunjukkan minat, ternyata Pogba lebih selesa untuk kembali ke kelab yang pernah memberikannya sinar kebahagiaan berbanding kelab di negara kelahirannya sendiri.

Menarik sekali, sikap Mr. Hyde yang diibaratkan telah terserlah dalam satu sedutan dokumentari miliknya yang bakal disiarkan menerusi saluran Amazon tidak lama lagi.

Dalam dokumentari itu, Pogba berbicara tentang tawaran kontrak baru daripada United bersama ejennya, mendiang Mino Raiola.

Apabila Raiola memaklumkan United bertekad hendak mengekalkan khidmatnya dan bersedia menawarkan gaji setinggi £300,000 (RM1.6 juta) seminggu, Pogba membalas dengan mengatakan bahawa angka itu 'tidak ada apa-apa yang istimewa' dan mendakwa jika United benar-benar mahu dia kekal, gaji yang ditawarkan sepatutnya jauh lebih tinggi.

Dengan erti kata lain, jika United mahu Pogba untuk meneruskan satu perjalanan yang cukup tidak menggembirakan bersama mereka, wang gaji memainkan peranan penting.

Jika wang tersebut enggan dibayar, Pogba lebih rela memilih untuk berhijrah ke destinasi lain demi mengembalikan semangatnya yang telah lama hilang -- dan ternyata itulah yang berlaku kini.

Kita kembali ke isu personaliti.

Setelah sekian lamanya mengekalkan personaliti Mr. Hyde, adakah Pogba akhirnya mampu untuk kembali semula sebagai Dr. Jekyll bersama Juventus sekali lagi?

Harus diingatkan, kegemilangannya sewaktu bersama Juventus terdahulu telah dikecapi dengan adanya tiga pemain berkelas dunia yang beraksi seiringan dengannya -- Andrea Pirlo, Claudio Marchisio dan Arturo Vidal.

Mereka bertiga telah lama meninggalkan Juventus dan pemain sedia ada di kelab itu sama sekali tidak boleh dibandingkan daripada segi kualiti.

Mampukah Pogba untuk kembali menyerlah, ataupun adakah kita hanya bakal melihat kesinambungan Mr. Hyde, cuma di negara dan liga yang berbeza?

Untuk pengetahuan, dalam pengakhiran kisah sastera itu, watak utama gagal menghasilkan penawar untuk membolehkan dia kembali menjadi Dr.Jekyll semula dan akhirnya terperangkap dalam personaliti Mr. Hyde selama-lamanya.