Bintang Manchester United, Paul Pogba, terkejut dengan bakat yang dimiliki rakan senegara, Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele.

Mbappe, 18, dan Dembele, 20, merupakan dua pemain yang sedang meningkat naik dan hampir pasti bakal memainkan peranan besar bersama Pogba dalam membawa Perancis ke pentas Piala Dunia 2018.

Pobga berkata dia terkejut dengan kemampuan kedua-dua pemain itu dan menggesa mereka mengekalkan fokus tatkala dikaitkan dengan perpindahan musim ini.

"Kami memiliki pemain muda yang cukup berbakat. Sya tidak pernah melihat pemain seperti mereka yang memiliki ketenangan seperti ini," Pogba memberitahu Telefoot.

"Mereka memiliki masa depan yang amat cerah, jadi mereka perlu serius.

"Mereka masih muda tetapi memiliki kematangan. Saya mendoakan mereka akan melalui karier yang baik, terutama bersama Perancis."

Perancis masih belum mengesahkan slot ke Russia 2018 selepas kekalahan mengejut 2-1 kepada Sweden baru-baru ini meletakkan mereka di tangga kedua Kumpulan A.

Bagaimanapun, Pogba menggesa rakan sepasukan yang lain untuk lebih berani berdepan baki empat perlawanan.

"Kami mahu menang berdepan Sweden. Semua orang menjangkakan kami menang, kami bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku," tambahnya.

Perancis bakal berdepan Belanda dan Luxembourg pada Ogos dan September ini.