Paul Pogba menepis dakwaan bahawa bekas rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo, antara punca masalah di bilik persalinan Manchester United, secara tidak langsung mempengaruhi percaturan Erik ten Hag terhadap penyerang itu.

Ronaldo bukan lagi taruhan kesebelasan utama selepas gagal mengekalkan kedudukannya sejak pelantikan pengurus berbangsa Belanda itu dan kebetulan pula Ronaldo tidak mengikuti siri jelajah pra-musim akibat masalah keluarga.

Bintang Portugal berusia 37 tahun itu juga dilaporkan mengintai jalan keluar dari Old Trafford.

Pogba mengingatkan ketika masalah di kem United memuncak, Ronaldo sering menjadi penyelamat maruah mereka dengan menghasilkan jaringan penting sebagaimana ketika menumbangkan Tottenham, Mac lalu.




"Dia tidak pernah menimbulkan masalah. Kami memiliki penyerang terbaik dalam sejarah pasukan kami, dia bukan satu masalah. Mutu persembahannya dan semua pasukan sangat bagus.

"Semua orang mengenali Cristiano tapi tidak perlu bercakap tentangnya. Itulah yang dilakukannya.

"Dia tidak beraksi dalam perlawanan terakhir, tapi apabila dia meledak tiga gol sebaik kembali. Semua orang berasa gembira," katanya.