Pemain tengah Perancis, Paul Pogba, berhasrat membantu pasukannya memenangi Piala Dunia 2018 sambil menyedari kemungkinan dia tidak akan beraksi dalam kejohanan itu di masa akan datang.

Bintang Manchester United itu membantu Les Bleus menumbangkan Australia dan Peru, sekali gus mengesahkan tiket buat mereka ke pusingan kedua selaku wakil Kumpulan C.

Bagaimanapun, skuad kendalian Didier Deschamps itu perlu menewaskan Denmark jika berhasrat menamatkan peringkat kumpulan di tangga teratas, sekali gus mengharapkan persembahan terbaik daripada Pogba.

Selepas terlepas kejuaraan Euro 2016, di mana Perancis ditewaskan oleh Portugal, pemain berusia 25 tahun itu mahu mengabaikan segala kritikan terhadapnya dan fokus mengibar cabaran Perancis untuk menjulang trofi pada 15 Julai nanti.

"Mungkin ini adalah Piala Dunia terakhir, saya tidak pasti," kata Pogba.

"Saya menikmati permainan, mahu melupakan segala kritikan dan hanya mahu menjawabnya menerusi aksi di atas padang.

"Saya menyerahkan segalanya buat Perancis dan sangat menginginkan trofi Piala Dunia."

"Dalam masa sama, saya bersikap realistik bahawa ini mungkin Piala Dunia terakhir buat saya.

"Anda tidak akan tahu apa yang akan berlaku di masa akan datang, mungkin saya ditimpa kecederaan dan akan ada pemain lain menggantikan saya tetapi saya harapkan dapat beraksi lagi.

"Sesetengah pemain langsung tidak berpeluang untuk beraksi di pentas Piala Dunia," ujarnya.