Pogba mohon maaf, kini United tidak boleh bermain dengan alasan -- Maguire

Ammar Hakim
Julai 23, 2020 00:15 MYT
Harry Maguire menerima permohonan maaf Paul Pogba selepas memberikan sepakan penalti buat West Ham tetapi menegaskan Manchester United tidak memiliki sebarang alasan ketika berdepan Leicester City Ahad ini.
United kini berada dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas seri 1-1 berdepan The Hammers awal pagi tadi, namun ketinggalan terlebih dahulu meneruskan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Michail Antonio selepas bola terkena tangan Pogba.
Mason Greenwood menyamakan kedudukan buat skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer bagi memastikan mereka mendahului Leicester dengan satu mata menjelang perlawanan terakhir merebut slot ke Liga Juara-Juara (UCL).
Tindakan Pogba -- yang disifatkan Gary Neville sesuatu yang memalukan -- sesuatu yang tidak seharusnya berlaku, namun kapten United, Maguire, mendedahkan pemenang Piala Dunia itu telah memohon maaf.
"Anda boleh berasakan ia adalah tindakan yang tidak disengajakan daripada Pogba. Adakah harus dia lakukannya? Dia seharusnya menahan bola itu walaupuan terkena muka.
"Tetapi dia telah meminta maaf. Mengakui kesilapannya dan mengetahui dia tidak seharusnya melakukan sedemikian.
"Saya berasakan ia merupakan sesuatu yang semula jadi untuk melindungi diri sendiri, melindungi muka anda. Saya masih belum melihat ulang tayang lagi.
"Tetapi pasukan lawan meraih sepakan penalti dan berjaya mendahului permainan."
Dengan United sekadar menang satu daripada empat perlawanan terakhir, Maguire mengakui jadual 'mengarut' mula memberikan kesan kepada pasukan.
Tetapi pertahan itu menegaskan United masih lagi mampu menghadirkan aksi cemerlang dan yakin mereka mampu mempamerkan aksi yang lebih berkualiti hujung minggu ini.
"Kami sudah bersedia. Tiada alasan untuk penat dan gagal bermain dengan baik. Jika anda tidak dapat bangkit daripada apa yang telah berlaku jadi anda berada dalam sukan yang salah."