Paul Pogba berkata kepulangannya ke Manchester United didorong oleh keinginan untuk memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan memasang impian untuk menjadikannya sebagai realiti.

Pemain Perancis itu yang meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Juventus pada 2012, dibawa kembali ke United oleh Jose Mourinho dengan rekod perpindahan dunia.

United dan Pogba memenangi tiga trofi -- Piala Perisai Komuniti, Piala Liga Inggeris (EFL) dan Liga Europa -- musim lepas, namun bergelut dalam liga dengan mengakhirinya di tempat keenam.

Begitupun, selepas berbelanja pada musim panas lalu, Pogba mahu mengetuai United dalam pemburuan mahkota liga dengan menyaingi Chelsea dan seteru setempat, Manchester City.

"Saya hadir di sini untuk memenangi EPL selain mencabar diri sendiri," katanya.

"Memenangi EPL adalah penting.

"Impian saya adalah untuk bermain di kelab ini dan ketika berhijrah (2012), saya sentiasa berasakan telah terlepas sesuatu di Manchester United kerana saya bukanlah pemain utama.

"Kini saya gembira untuk kembali. Saya menjadi matang di Itali dan kembali sebagai seorang lelaki dewasa."

United kini menghuni puncak liga selepas aksi pertama dengan Pogba turut mencetak nama selaku penjaring dalam kemenangan 4-0 ke atas West Ham.