Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, menjangkakan pemain tengah, Paul Pogba, perlu direhatkan untuk beberapa minggu kerana mengalami kecederaan pangkal paha.

Pogba terpaksa meninggalkan padang pada awal babak pertama ketika pasukannya meraih kemenangan 3-0 ke atas Basel dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Mourinho masih belum mendapatkan kepastian mengenai kecederaan yang dialami oleh pemain kebangsaan Perancis itu, dengan beliau menyarankan Pogba akan terlepas perlawanan untuk beberapa minggu.

"Saya mengetahuinya berdasarkan pengalaman, ia adalah kecederaan otot yang sering dialami mana-mana pemain," katanya.

"Kecederaan sebegini, ia memerlukan masa selama beberapa minggu sebelum kembali pulih untuk beraksi."

Pogba telah memulakan musim ini dengan cemerlang, meledak dua gol sepanjang empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dia dilihat bakal terlepas aksi berdepan Everton, hujung minggu ini.