Paris Saint-Germain (PSG) mengumumkan bahawa ketua jurulatih mereka, Mauricio Pochettino, telah menandatangani kesepakatan baru untuk kekal di ibu kota Perancis itu sehingga 2023.

Pochettino tiba di kelab gergasi Ligue 1 itu pada Januari lalu bagi menggantikan Thomas Tuchel, yang kini merupakan pengurus Chelsea.

Bagaimanapun, bekas pertahanan PSG itu gagal dalam usahanya mempertahankan kejuaraan Ligue 1 pasukan itu daripada dirampas Lille pada ketika masih mampu menjuarai Coupe de France dan layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Walaupun pernah dikaitkan dengan kepulangan ke Tottenham, yang memecatnya pada November 2019, Pochettino kini bersetuju untuk melanjutkan tempohnya di Paris bersama seluruh barisan kejurulatihannya.

"Saya benar-benar gembira, untuk diri saya dan juga untuk seluruh staf saya," katanya dalam laman web rasmi PSG.

"Ia amat penting untuk kami berasa yakin dengan kelab ini dan kami akan memberikan semaksimum yang mungkin supaya penyokong akan berbangga dengan Paris Saint-Germain. Kerana itulah kami akan mencuba untuk mencapai objektif kami secara bersama, secara satu pasukan.

"20 tahun lalu, saya merupakan kapten kelab ini dan hari ini, saya menjadi jurulatih... Ia impian jadi kenyataan," katanya.