TOTTENHAM HOTSPUR 2 BAYERN MUNICH 7

Mauricio Pochettino menyeru agar semua pemain Tottenham Hotspur kekal bersatu selepas permulaan buruk mereka musim ini berterusan dengan kekalahan 2-7 kepada Bayern Munich dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di laman sendiri awal pagi tadi.


Serge Gnabry menjaringkan empat gol buat Bayern untuk juara Bundesliga berkenaan merekodkan kemenangan terbesar mereka ke atas kelab England di gelanggang lawan.

Spurs, yang juga finalis musim lalu, terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Son Heung-min, namun timbul persoalan mengenai semangat juang mereka susulan keruntuhan prestasi tidak lama selepas itu.

Pochettino mengakui kekalahan ketiga daripada empat perlawanan terakhir mereka itu terlalu berat untuk diterima.

"Saya tidak perlu menjelaskannya dengan terlalu banyak," katanya kepada BT Sport.

"Kami beraksi dengan baik dalam tempoh 30 minit pertama, kami bermula dengan baik dengan tekanan di bahagian depan.

"Tetapi kami tidak bernasib baik apabila dibolosi pada minit pertama babak kedua.

"Ia boleh terjadi dalam bola sepak. Setiap sentuhan mereka mengasilkan gol.

"Kami amat kecewa dan sedih tetapi kami perlu kekal bersatu.

"Saya fikir mental kami masih kuat.

"Mungkin anda sudah bosan dengan percakapan saya tetapi bola sepak tentang hari ini dan bukannya semalam.

"Ia bukan mengenai pengalaman dan apa yang terjadi tiga bulan lalu," katanya.

Bayern memperoleh tiga gol dalam tempoh lima minit terakhir dan Pochettino berasakan pasukannya tidak bernasib baik dengan kekalahan besar seperti itu.

"Setiap sentuhan Bayern amat kemas, mereka menjaringkan gol dengan setiap sentuhan.

"Ia sukar untuk diterima dan anda perlu melupakannya.

"Anda perlu menghadapi situasi seperti ini. Ia sukar tetapi anda perlu menjadi tabah dan meneruskannya.

"Kekal bersama, membantu sesama sendiri dan bersatu.

"Apabila berdepan keputusan seperti ini, anda perlu bangkit dan percayakan diri sendiri.

"Itu sahaja cara untuk mengatasinya," katanya lagi.

Dengan kekalahan itu, Spurs kini berada di tangga ketiga Kumpulan B selepas mensia-siakan kelebihan dua gol untuk terikat 2-2 dengan Olympiacos dalam perlawanan pembukaan.