Mauricio Pochettino tidak percaya Kylian Mbappe mempunyai hak untuk bersuara dalam proses pemecatannya sambil mengekalkan pendirian bahawa dia telah melaksanakan tugas yang baik di Paris Saint-Germain (PSG).

PSG memecat pengurus Argentina itu pada bulan lalu, hanya 18 bulan selepas melantiknya sebelum menamakan Christophe Galtier sebagai penggantinya.

Bekas ketua jurulatih Tottenham itu menjulang gelaran Ligue 1 musim lalu, Coupe de France pada 2021 dan Trophee des Champions dalam tempoh kendaliannya yang singkat.

Pochettino, bagaimanapun, belum mampu mencapai misi meraih gelaran pertama Liga Juara-Juara (UCL) untuk dihadiahkan kepada gergasi Paris itu yang menyaksikan mereka disingkirkan Real Madrid selepas mensia-siakan kelebihan dua gol di peringkat 16.




Terdapat cakap-cakap mengenai pengaruh besar Mbappe di PSG selepas dia menolak Madrid untuk menandatangani kontrak baharu, tetapi Pochettino tidak fikir penyerang Perancis itu telah melakukan desakan untuk melihatnya dipecat.

Pochettino berkata dalam temu bual panjang dengan Infobae: "Apa yang saya fikir ialah PSG telah melakukan segala yang mungkin untuk mengekalkan Kylian dan saya juga bersetuju dengan itu.

“Dia adalah antara pemain terbaik dalam bola sepak dunia hari ini dan saya fikir PSG mempunyai segala sumber untuk melakukannya, mereka telah meyakinkannya untuk kekal.

"Tetapi saya tidak fikir Kylian merupakan dalang di sebalik projek baru ini. Pengurusan tertinggi, dalam kes ini presiden (Nasser Al-Khelaifi) adalah mereka yang akan menganggap tindakan yang paling mudah untuk dilakukan ialah memperkenalkan projek baru."