Mauricio Pochettino mengesahkan bahawa Lionel Messi dan Neymar tidak akan beraksi menentang Clermont sambil menegaskan Kylian Mbappe amat gembira di Paris Saint-Germain (PSG).

Messi, yang melakukan penampilan pertamanya ketika menentang Reims sebelum waku rehat antarabangsa, dan Neymar baru sahaja beraksi dalam pusingan kelayakan Piala Dunia, masing-masing mewakili Argentina dan Brazil, semalam.

Ketika Neymar menghasilkan satu gol dan satu bantuan jaringan ketika Brazil menewaskan Peru 2-0, Messi pula menjaringkan hatrik ke atas Bolivia untuk mengatasi rekod Pele selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman Amerika Selatan.

Angel Di Maria dan Leandro Paredes turut diturunkan Argentina dalam pusingan kelayakan itu dan Pochettino berkata adalah sesuatu yang masuk akal untuk kesemua pemain itu tidak dibenarkan terlibat dengan perlawanan di laman sendri menentang pasukan yang baru dinaikkan ke Ligue 1, Clermont, malam ini.

"Di Maria, Paredes, Neymar dan Messi, berdasarkan penilaian yang masuk akal, mereka tidak akan terlibat dengan skuad esok," kata ketua jurulatih PSG itu sembil berharap Mauro Icardi, Presnel Kimpembe dan Mbappe cukup cergas untuk diturunkan.



Mbappe mencetus tumpuan paling besar dalam jendela perpindahan lalu, di mana PSG menolak tiga tawaran daripada Real Madrid untuk mendapatkan bintang penyerang itu.

Pemain berusia 22 tahun itu hanya memiliki baki setahun dalam kontraknya dan terdapat laporan bahawa Madrid amat yakin akan dapat menandatangani pemain itu secara ejen bebas pada 2022.

Bagaimanapun, Mbappe buat masa ini masih bersama PSG dan Pochettino menjelaskan bahawa pemain itu masih gembira di Paris.

"Mbappe gembira, emosinya stabil. Sebelum dan selepas jendela perpindahan sehingga hari ini, dia kekal dengan penetapan minda yang positif dengan keinginan untuk menikmati permainannya.

"Jadi, kami gembira dengan perasaannya itu. Dia sudah berlatih dan sedang memulihkan kecederaan yang dialaminya sewaktu tugasan antarabangsa. Kami harap dia dapat bermain esok," katanya lagi.