Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, memuji reaksi Vincent Janssen kepada kritikan yang dilontarkan terhadapnya.

Selepas menyertai Tottenham dari AZ pada awal musim, Janssen -- penjaring terbanyak Eredivisie musim lalu dengan 27 gol -- bergelut untuk menyamai prestasi sama di White Hart Lane.

Pemain antarabangsa Belanda itu turut dikaitkan dengan penghijrahan pada Januari sebelum memilih untuk kekal di London.

Meskipun Janssen masih belum mendapat tempat dalam kesebelasan utama memasuki tahun 2017, Pochettino gembira dengan cara penyerang itu menampilkan dirinya ketika sesi latihan.

"Saya sentiasa cuba menjadi jujur dan adil," kata Pochettino ketika sidang media.

"Saya gembira dengan reaksi Vincent beberapa minggu ini, termasuk latihannya.

"Dia sedar bahawa dia perlu berjuang ketika latihan dan cuba menyuntik kepercayaan terhadap saya supaya dia dapat diturunkan.

"Saya berpendapat dia kini sudah tahu apa yang perlu dilakukan."

Selepas 28 penampilan, Janssen hanya menyumbang empat gol setakat ini dengan kesemuanya hadir menerusi sepakan penalti.