Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, mengisytiharkan dirinya 'berpuas hati' dengan apa yang dilihat daripada Neymar dalam keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan Marseille dalam saingan Ligue 1.

Neymar kembali ke dalam skuad selepas terlepas kemenangan PSG dalam aksi Liga Juara-Juara ke atas RB Leipzig Selasa lalu dengan kecederaan pangkal paha dan turun bersama Kylian Mbappe dan Lionel Messi Ahad lalu.

Gabungan mereka tidak menghadirkan kesan yang dimahukan, selepas trio itu gagal menemui jaringan bertemu Marseille di Velodrome.

PSG dipaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-57, apabila bek-kanan, Achraf Hakimi dilayang kad merah.

Kekurangan daripada segi taktikal memaksa Neymar turun ke bahagian tengah selepas Thilo Kehrer menggantikan Angel Di Maria selepas perlawanan melewati satu jam.

Neymar pula digantikan Georginio Wijnaldum pada minit ke-83 bagi memastikan pasukan seri dan membawa pulang satu mata.

Ia merupakan kali pertama Marseille dan PSG seri tanpa jaringan di Velodrome dalam aksi Ligue 1 sejak November 1998.

"Selepas kami kekurangan pemain, terdapat keputusan yang perlu dilakukan, kami terpaksa mengubah strategi dan Neymar beraksi sebagai salah seorang pemain tengah," kata Pochettino.

"Saya berpuas hati dengan permainan Neymar, dia banyak berkorban untuk pasukan selepas kembali daripada skuad Brazil sebelum ini."