Pochettino perlu masa perinci identiti PSG -- Leonardo

Muzaffar Musa
Januari 19, 2021 05:36 MYT
Pengarah Kesukanan Paris Saint-Germain (PSG), Leonardo, percaya Mauricio Pochettino mampu memperincikan identiti kelab Ligue 1 itu.
PSG memecat ketua jurulatih, Thomas Tuchel bulan lalu dan bekas pengurus Tottenham, Pochettino, diumumkan sebagai penggantinya pada 2 Januari lalu.
Leonardo berkata ia sesuatu yang penting buat Pochettino dalam memastikan PSG mempunyai falsafah tersendiri tetapi menyedari perkara itu memerlukan masa.
"Saya fikir adalah penting untuk memastikan satu cara permainan di atas padang kerana Paris perlu mempunyai identiti," katanya kepada France Football.
"Ia tidak dapat dilakukan dalam beberapa minggu tetapi dalam beberapa tahun. Dan saya fikir Pochettino mampu memperincikannya dengan cara yang tekal dan bersepadu dengan DNA kelab ini."

The preparation of the week ahead starts now ? pic.twitter.com/udlE4lsp21

— Paris Saint-Germain (@PSG_English) January 18, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tuchel membimbing PSG memenangi dua kejuaraan Ligue 1 berturut-turut dan mara ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tahun lalu sebelum tewas di tangan Bayern Munich.
Leonardo berkata keputusan memecat jurulatih berbangsa Jerman itu sepatutnya tidak menjadi satu kejutan.
"Kami tahu dan dia (Tuchel) juga tahu bahawa sukar untuk kami memperbaharui kontraknya pada penghujung musim," tambah Leonardo.
"Tetapi kemudian, kami memilih untuk melakukan sedikit perubahan. Kami tidak menukar jurulatih untuk menunjuk-nunjuk. Saya tidak fikir ia sesuatu yang mengejutkan Tuchel.
"Ia bukan kali pertama kami berbincang mengenai situasi itu bersamanya. Mungkin dia sudah tidak memahami saya lagi," katanya lagi.
PSG kini berada di tangga teratas Ligue 1 menjelang kunjungan ke laman Montpellier, Jumaat ini.
#PSG #Thomas Tuchel #Mauricio Pochettino #Ligue 1