Mauricio Pochettino mahu Messi diberikan masa untuk menyesuaikan dirinya dengan persekitaran baru di Paris Saint-Germain (PSG), yang sedang bersiap-sedia untuk menghadapi "jurulatih terbaik di dunia", Pep Guardiola.

Messi masih belum mendaftarkan sebarang jaringan atau bantuan gol sepanjang tiga penampillan sejak menyertai PSG secara ejen bebas berikutan masalah kewangan yang dihadapi Barcelona tetapi Pochettino sudah bersedia untuk bersabar dengan bintang dunia itu.

Pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu kini sedang bergelut dengan kecederaan lutut, namun berkemungkinan dapat diturunkan kelab Perancis itu menjelang pertemuan dengan Manchester City dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di laman sendiri awal pagi esok.

"(Messi) sedang berkembang dengan baik dan saya fikir dia akan berada dalam skuad kami tetapi saya belum pasti sama ada akan menyenaraikannya dalam kesebelasan utama atau tidak," kata Pochettino dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Dia pemain terbaik dunia tetapi dia masih seorang manusia seperti orang lain. Dia juga perlu menyesuaikan diri dengan pasukan barunya, dengan budaya baru dan negara baru. Dia berada di Barcelona selama 20 tahun, segalanya masih baru buatnya di sini.

"Saya tidak pernah meragui segala-galanya dapat diselesaikan dan kami akan mencapai kejayaan sebenar bersama-sama," katanya.

Bekas pengurus Tottenham dan Southampton itu turut menafikan bahawa pasukannya merupakan pasukan pilihan untuk memenangi gelaran Eropah musim ini sambil menganggap PSG sebagai pasukan yang masih belum lengkap -- berbeza dengan lawan mereka, Manchester City.

"Pasukan kami masih dalam pembinaan. Itu bukan satu pandangan tetapi satu fakta. Kita perlu melihat di mana kami bermula dan di mana kami berada sekarang.

"Kami akan berdepan Manchester City dan jurulatih terbaik dunia, Pep Guardiola. Mereka pasukan yang hebat, sebuah kelab yang mengimpikan untuk memenangi UCL, sama seperti kami. Mereka mungkin lebih baik daripada kami tetapi segala-galanya boleh berlaku dalam bola sepak.

"Kami akan mencuba dan memberikan mereka masalah dengan keinginan besar, keazaman yang kami miliki dan mengaplikasikan idea kami dan menyekat kualiti yang dimiliki mereka, dan mencari kelemahan mereka untuk dieksploitasi.

"Ia satu perlawanan untuk pemain kami menunjukkan potensi mereka," katanya.