Mauricio Pochettino berasa kecewa selepas Paris Saint-Germain (PSG) gagal mendaftarkan sebarang percubaan tepat ketika tewas 0-2 kepada Rennes di Roazhon Park malam tadi.

Rekod lapan kemenangan berturut-turut pasukan pendahulu Ligue 1 itu sejak awal musim ini musnah gara-gara gol Gaetan Laborde dan Flavien Tait dalam babak berbeza.

PSG mendaftarkan 13 percubaan tetapi tiada satu pun daripadanya dapat menguji penjaga gol lawan, Alfred Gomis, di mana usaha yang dilakukan Kylian Mbappe dalam babak kedua dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) kerana berada di kedudukan ofsaid.

Mbappe sebelum itu melakukan percubaan yang melambung tinggi biarpun hanya tinggal Gomis untuk ditewaskan manakala sepakan voli Neymar dari jarak enam ela turut tersasar ketika kedudukan masih terikat tanpa jaringan.

Pochettino turut meletakkan seorang lagi pemain bintang, Lionel Messi, dalam barisan permulaan perlawanan itu, di mana dia melakukan lima percubaan dan salah satunya menerusi sepakan percuma yang menggegarkan palang gol lawan.

Angel Di Maria menggantikan Ander Herrera dalam kesebelasan utama berbanding ketika menewaskan Manchester City 2-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi Rabu lalu tetapi Pochettino tidak menyesal dengan pemilihan pemainnya.

"Saya tidak fikir kami perlu mengubah sistem kami. Kami memiliki tempoh 25 minit paling baik (dalam babak pertama) musim ini," kata Pochettino dalam sidang media selepas perlawanan itu.

"Kami tidak memulakan perlawanan dengan baik tetapi kami kemudian melalui tempoh 25-30 minit dengan kualiti bola sepak yang baik. Amat merugikan apabila kami tidak dapat memanfaatkannya.

"Kami kemudian terkesan hebat secara psikologi, dibolosi sebelum dan selepas waktu rehat. Perlawanan menjadi terbuka selepas itu. Kami mencipta peluang tetapi berdepan waktu sukar.

"Rennes meningkatkan keyakinan mereka dan kami mula berasa kecewa," katanya.



Ia merupakan kekalahan pertama Messi sejak menyertai PSG daripada Barcelona pada Ogos lalu dan pemain kebangsaan Argentina berkenaan masih belum menghasilkan sebarang gol daripada tiga penampilan dalam Ligue 1.

Mbappe, dalam pada itu, telah melakukan 17 percubaan sejak kali terakhir menemui sasaran dalam Ligue 1.

Ketika Messi, Mbappe dan Di Maria beraksi selama 90 minit, Neymar pula dikeluarkan pada 14 minit terakhir selepas hanya menghasilkan satu percubaan yang tersasar dalam babak pertama.

Pochettino, bagaimanapun, enggan menyalahkan mana-mana pemain dan sebaliknya memikul tanggungjawab itu, di mana PSG tewas buat kali pertama sejak awal April lalu -- selepas 15 perlawanan liga.

"Ketika kami menewaskan Man City, ia adalah satu usaha kolektif. Orang pertama yang bertanggungjawab adalah saya. Apa yang kami lakukan selama 25 minit merupakan sesuatu yang amat berkualiti tinggi.

"Kami perlu memanjangkannya selama 90 minit. Saya berpuas hati dengan satu perkara -- kami mencipta banyak situasi dan peluang," tambahnya.