Mutu pengadilan yang lemah sehingga mencetuskan kontroversi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 menyebabkan pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, menyambut baik idea penubuhan Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM).

Daripada sudut pandangan seorang jurulatih, Irfan Bakti berasakan penubuhan badan bebas tersebut adalah tepat pada waktunya selain menjadi anjakan paradigma yang dapat meningkatkan tahap kualiti pengadilan bola sepak Malaysia.

Menurutnya, usaha Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu akan memberikan jalan penyelesaian terhadap masalah yang dialami pengadil yang sedikit-sebanyak mempengaruhi standard Liga Malaysia (Liga-M) sebelum ini.

“Ia satu idea yang baik kerana mereka (pengadil) tidak perlu runsing lagi dengan pelbagai masalah seperti isu membabitkan perjalanan mengendalikan perlawanan. Selepas ini, sudah pasti mereka dapat menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap tugas.

“Apabila sudah menjadi badan bebas, mereka juga akan dilindungi daripada elemen gangguan luar, sekali gus standard liga dalam negara akan menjadi lebih baik daripada sebelumnya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Idea penubuhan PMOM oleh MFL dan FAM terhasil selepas dua entiti bola sepak negara itu mengadakan perjumpaan dengan badan induk pengadil profesional Liga Perdana Inggeris, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL), di London baru-baru ini.

Sementara itu, Irfan Bakti yang pernah membawa Terengganu menjulang Piala FA pada 2011 berkata PMOM turut berupaya meningkatkan kredibiliti seseorang pengadil, sekali gus menjadi penanda aras terbaik untuk melahirkan lebih ramai pengadil tempatan yang berkualiti tinggi.

Beliau bukan mahu merendahkan kualiti pengadil sedia ada, namun kekurangan pengadil tempatan yang mempunyai standard serta disenaraikan dalam Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) jelas menunjukkan bahawa langkah menubuhkan PMOM adalah tepat.

“Sebenarnya, apa yang berlaku dalam final Piala Malaysia 2018 turut mendapat perhatian penonton di England. Mereka terkejut dengan mutu pengadilan dan keputusan yang dibuat pengadil ketika itu. Menerusi PMOM, landskap itu dapat diubah dengan peningkatan kualiti pengadil tempatan.

“Sekurang-kurangnya, mereka (pengadil) akan belajar cara pengadil antarabangsa mengadili perlawanan.

"Sekarang ini kita lihat banyak ‘foul’ diberikan walaupun hanya berlaga badan (body contact). Mereka juga boleh mencontohi pengadil luar yang mampu berhujah dengan pemain dan mengawal perlawanan berkeamatan tinggi dengan baik,” tambahnya.

-- BERNAMA