Nantes terselamat dalam aksi playoff paling menggetirkan untuk kekal bersaing dalam Ligue 1 bagi musim kesembilan berturut-turut selepas mengatasi Toulouse dengan kelebihan gol di laman lawan awal pagi tadi.

Mendahului 2-1 dalam perlawanan pertama di laman lawan Khamis lalu, Nantes tewas 0-1 di Stade de la Beaujoire kepada lawan yang merupakan pasukan di tangga ketiga Ligue 2 musim ini.

Vakoun Bayo menanduk masuk umpanan Amine Adli untuk memberikan Toulouse kelebihan pada minit ke-62 tetapi Nantes kental bertahan daripada asakan hebat pasukan pelawat itu.

Toulouse terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-87 setelah Nathan N'Goumou diarahkan keluar padang gara-gara mengasari Jean-Charles Castelletto dan ia memudarkan harapan mereka untuk memburu jaringan kedua.

Sebagai rekod, Nantes memenangi empat perlawanan liga berurut-turut sebelum tewas kepada Montpellier dalam perlawanan terakhir musim ini. Mereka memintas Nimes untuk menamatkan liga di tangga ke-18.