Harry Kane hampir pasti dipertaruhkan dalam kesebelasan utama buat kali pertamanya musim ini ketika menghadapi Pacos de Ferreira selepas mengesahkan dia akan kekal di Tottenham dalam jendela perpindahan musim panas ini.

Penyerang yang dikaitkan dengan Manchester City itu menghentikan sementara spekulasi mengenai masa depannya malam tadi dengan menyatakan bahawa dia 100 peratus fokus kepada Spurs.

Ketua pasukan England itu tidak tersenarai dua perlawanan pertama kempen musim ini sebelum kembali sebagai pemain gantian dalam separuh masa kedua ketika melakar kemenangan di Wolves, hujung minggu lalu.

Dia dinamakan dalam senarai kelab utara London itu untuk perlawanan play-off Liga Persidangan Europa dengan Pacos, awal pagi esok.

Pengurus Spurs, Nuno Espirito Santo, gembira dapat meredakan desas-desus perpindahan bintang berbisa mereka itu yang mungkin dibayangi permulaan positif pasukannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Ini satu berita hebat untuk semua orang," kata Nuno ketika ditanya mengenai anak buahnya itu yang menyatakan komitmennya bersama kelabnya.

"Saya rasa sejak Harry kembali bersama kami, dia telah bekerja keras. Inilah yang kami hargai. Sikapnya dalam latihan sangat hebat.

"Sekarang segalanya sudah selesai -- Harry akan kekal bersama kami. Dia berlatih hari ini dan merupakan antara pilihan untuk diturunkan esok. Seperti yang saya katakan, berita hebat untuk semua orang.

"Kami semua sangat gembira. Dia merupakan salah seorang pemain terbaik dunia. Kami semua sangat gembira, gembira kerana mempunyai satu lagi pilihan untuk musim ini."






Kane merobek gawang lawan sebanyak 221 kali dalam 337 penampilan di peringkat kelab dan berada di kedudukan kedua selepas Jimmy Graves (266) dalam senarai penjaring sepanjang zaman kelab itu.

Pemain berusia 28 tahun itu terlibat dalam 37 gol buat kelabnya yang juga merupakan yang tertinggi setakat ini, sementara 14 bantuan jaringannya dua kali ganda lebih tinggi daripada pencapaian yang dilakukan pada 2016-17.

Meskipun pada Mei lalu Kane mengakui bahawa dia berada dalam dilema untuk menentukan kariernya, Nuno tidak meragui motivasi penyerang produktif itu untuk terus menyarung jersi Spurs.

"Saya rasa terserah kepada kita, semua pihak termasuk pemain itu sendiri untuk mendapatkan motivasi ini. Tiada keraguan mengenai kesetiaannya kepada Spurs," katanya.

"Ini adalah kelab yang luar biasa, pasukan yang bagus dan kami memerlukan semua orang yang terlibat dalam proses ini. Baguslah bahawa masalah ini sudah selesai dan kami dapat meneruskan kerjasama seperti biasa."

Tottenham melakukan 11 rombakan dalam skuad utama ke Portugal minggu lalu yang menyaksikan mereka tewas menerusi gol tunggal Lucas Silva.

Spurs perlu mengatasi defisit itu ketika Pacos mengunjungi Stadium Tottenham Hotspur dan Nuno dijangka akan menamakan pasukan terkuat kali ini.