MALLORCA 3 DEPORTIVO LA CORUNA 0
(Mallorca mara dengan agregat 3-2)

Mallorca melengkapkan kebangkitan luar biasa untuk meraih tempat dalam LaLiga musim depan dengan kemenangan agregat 3-2 ke atas Deportivo La Coruna.


Setelah dinaikkan pangkat ke Divisyen Segunda musim lalu susulan era kejatuhan mereka, Mallorca membatalkan defisit dua gol dalam pertemuan pertama untuk meraih tempat dalam saingan peringkat tertinggi Sepanyol dengan kemenangan 3-0 di Stadium Iberostar, awal pagi tadi.

Kemenangan tuan rumah mula terbayang selepas Ante Budimir membuka tirai gol pada minit ke-21 sambil didorong oleh sokongan padu penyokong, termasuk kehadiran bintang tenis kelahiran Mallorca, Rafael Nadal, di Son Moix.

Meskipun mendominasi perlawanan, mereka terpaksa menanti sehingga minit ke-62 untuk menyamakan agregat kedudukan, namun melakukannya dengan bergaya yang menyaksikan pemain berpengalaman, Salva Sevilla, melencongkan bola dalam satu sepakan bebas yang luar biasa.

Deportivo gagal mengekang serangan bertali arus itu untuk Mallorca mengesahkan kemenangan menerusi larian kencang dan penyudah berbisa pemain gantian, Abdon Prats.

Pablo Mari hampir meranapkan impian Mallorca pada minit-minit akhir permainan, mujur tandukannya dari jarak enam ela tidak tepat ke sasaran untuk Los Bermellones menamatkan penantian enam musim untuk kembali mewarnai kancah LaLiga.