Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, tidak sabar beraksi untuk skuad negara selepas penggantungannya berakhir ketika aksi persahabatan dengan Nepal, Ahad lalu.

Sumareh mengakui teruja untuk kembali berkhidmat buat Harimau Malaya serta menjanjikan kemunculannya bagi pertemuan pertama play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2020 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini, akan lebih memantapkan lagi pasukan negara.

Ditanya mengenai posisi yang mungkin ada elemen kejutan, Sumareh tidak berasa bimbang dengan apa jua percaturan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

"Saya gembira kembali ke pangkuan pasukan dan boleh beraksi.

"Saya berharap dapat menyumbangkan sesuatu buat Malaysia ketika berdepan Timor Leste.

"Saya amat teruja berikutan sudah lama terpinggir," katanya.

Melewati Hari Raya Aidilfitri yang singkat buat kali pertama, pemain kelahiran Gambira itu kekal positif dan tidak menganggap misi negara sebagai paksaan untuk dirinya.

Malah, berjauhan seketika dengan keluarganya tidak memberi kesan memandangkan pemain Harimau Malaya juga kini dianggap sebagai keluarga barunya.

"Pemain seperti Paul Pogba, misalnya, mereka juga adalah Muslim tetapi tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilifitri di samping keluarga.

"Mewakili negara adalah satu penghormatan, pemain di luar sana berharap dapat berada di sini.

"Ia satu penghormatan untuk berbakti kepada negara," katanya.