Roberto Mancini menyatakan kekesalan terhadap kegagalan Itali untuk memastikan kelayakan automatik ke Piala Dunia Qatar 2022 sambil memberi amaran kepada skuad Azzurri agar melupakan kejayaan Euro 2020 menjelang pusingan play-off kelak.

Itali, yang terlepas kempen Piala Dunia 2018, telah melalui transformasi hebat di bawah bekas pengurus Inter dan Manchester City itu.

Kemuncak kejayaan mereka ialah ketika menjulang trofi Euro 2020 untuk gelaran Kejuaraan Eropah pertama mereka sejak 1968.

The Azzurri melakar rekod dunia dengan 37 perlawanan tanpa kalah sebelum ia berakhir di tangan Sepanyol dalam separuh akhir Liga Negara-Negara (UNL) pada Oktober lalu, tetapi prospek ke Piala Dunia di luar kawalan mereka.

Itali menamatkan saingan kelayakan Kumpulan C di tempat kedua di belakang Switzerland, begitu juga Portugal yang terpaksa memberi laluan kepada Serbia dalam Kumpulan A.




Kedua-dua pasukan kemudian diundi di laluan play-off yang sama, ini bermakna pasukan bimbingan Mancini atau skuad yang diketuai Cristiano Ronaldo itu perlu merebut satu slot layak ke temasya Qatar 2022.

Begitupun, Itali perlu melepasi rintangan Macedonia Utara dalam separuh akhir play-off terlebih dahulu pada hujung Mac depan walaupun Mancini sebenarnya berharap pasukannya dapat mengesahkan kelayakan dengan lebih awal.

Dia memberitahu Sky Sports Italia: "Inilah bola sepak, inilah sukan. Kadang-kadang anda layak menang tetapi tidak mencapainya. Kami berhak melepasi saingan kumpulan dengan lebih awal.

"Kami patut melepasi peringkat kelayakan lebih awal lagi dan sekarang kami perlu menyingsing lengan baju kami dan melaksanakan satu tugas yang hebat dalam dua perlawanan ini.

"Tetapi saya tetap optimis walaupun sedar kami berdepan tugas sukar di peringkat kelayakan sebelum ini kerana diundi di samping Switzerland. Saya fikir kami masih mampu layak, tetapi saya sedar ia akan menjadi sukar.

"Kejayaan Euro 2020 sudah berlalu, kini kami perlu fikirkan perjuangan yang lain."