Pertahanan negara, Irfan Zakaria, berikrar untuk kembali menambat hati pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, andai diberi kepercayaan diturunkan dalam perlawanan kedua play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023 menentang Timor Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Irfan antara empat pemain yang masih belum mendapat peluang beraksi untuk tugasan skuad negara kali ini.

Dia sekadar memanaskan bangku simpanan untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Nepal dan perlawanan pertama play-off, Jumaat lalu.

Situasi itu jelas berbeza dengan peranannya ketika dalam Kejohanan Piala Airmarine, Mac lalu, apabila dia menjadi taruhan utama Cheng Hoe ketika berentap dengan Singapura dan Afghanistan.

"Itu bukan satu alasan untuk saya tidak berlatih dengan lebih gigih lagi.

"Semua jurulatih mempunyai taktikal tersendiri dan saya perlu berikan 100 peratus komitmen ketika latihan dan perlawanan.

"Kalau diberi peluang, saya akan curahkan usaha 100 peratus," katanya.

Berdasarkan situasi semasa, pertahanan Kuala Lumpur itu berpeluang cerah untuk membarisi kesebelasan utama susulan kemenangan besar 7-1 yang diraih skuad negara ke atas Timor Leste minggu lalu.

Malah, bekas tonggak skuad B-23 negara itu juga bukan asing untuk digandingkan dengan Shahrul Saad atau Adam Nor Azlin di posisi pertahanan.

"Pasukan ini ditunjangi pemain senior dan muda, pemain lebih senior akan memberi panduan.

"Panggilan pasukan kebangsaan kali ini sangat berbeza apabila pemain menunjukkan komitmen di padang mahupun di luar padang.

"Insya-Allah kalau pasukan ini dikekalkan, kami boleh pergi lebih jauh lagi," katanya.